Pemikiran proaktif atau sikap proaktif adalah satu sikap yang amat perlu bagi setiap daripada kita dalam berorganisasi dan bekerja. Proaktif adalah dikaitkan dengan sikap advance atau terlebih dahulu bertindak sebelum terjadinya sesuatu.
Kenapa agaknya saya mengutarakan perihal pemikiran dan sikap proaktif ini adalah kerana ketiadaan sikap ini boleh menyebabkan kelumpuhan satu-satu organisasi atau perkumpulan. Individu yang tidak memiliki sikap proaktif akan bertindak seperti robot yang sentiasa menunggu arahan tanpa mempertimbangkan akan usaha dan kebolehan yang ada padanya untuk dimanfaatkan.
Sekiranya anda menjadi orang bawahan dan menyerahkan segala gerak kerja anda kepada pemimpin, maka ini adalah sikap pasif yang melembabkan gerak kerja perkumpulan anda. Tugasan pemimpin secara lebih tepatnya adalah membuat keputusan, memilih, dan memberi persetujuan atau bantahan kepada gerak kerja perkumpulan yang dikemudinya. Apabila orang bawahan bersikap tidak proaktif dan lesu maka pemimpin tidak mampu mengetahui secara jelas perkembangan dan keadaan sebenar gerak kerja yang berada dalam bidang usaha orang bawahan tadi.
Menunggu arahan dan tidak mahu mengutarakan pendapat melainkan setelah diminta sedikit sebanyak memendam potensi dan keupayaan yang kemungkinan boleh ditingkatkan. Sikap proaktif ini sangat dituntut lebih-lebih lagi ke atas BIDANG KUASA YANG MENJADI MILIK KITA 100%, tanpa perlu bergantung harap kepada pemimpin melainkan untuk mendapatkan nasihat dan tunjuk ajarnya. Dengan yang demikian kerja pemimpin semakin mudah dan efektif.
Telah datang Khabab B. Munzir bertemu Rasulullah S.A.W semasa perang Badar dan menanyakan apakah lokasi benteng pertahanan yang dipilih Rasulullah S.A.W itu datangnya dari wahyu ataupun strategi Baginda S.A.W? Di sini beliau telah menunjukkan sikap proaktif, iaitu muncul ke hadapan dengan pendapatnya kerana beliau melihat akan lokasi yang dipilih tidak strategik. Beliau kemudiannya mengutarakan pendapatnya yang dirasakannya lebih baik, dan akhirnya pendapat beliau dipersetujui. Seandainya beliau sekadar berdiam diri dan membiarkan pemilihan benteng itu di kawasan asal SEDANGKAN DIA MENGETAHUI KAWASAN ITU TIDAK STRATEGIK, beliau telah membazirkan keupayaan dan aset yang ada pada dirinya dalam membangkitkan kemenangan Islam pada waktu itu.
Satu lagi contoh teladan yang mampu diambil di sini adalah akhlak Rasulullah S.A.W yang mampu menerima kritikan pada strategi pilihan Baginda dengan berlapang dada dan tawadhu’ meskipun Baginda S.A.W adalah Rasul pilihan Allah. Sudah semestinya seorang pemimpin yang berjiwa besar harus sentiasa bersedia menerima kritikan (sebagaimana lapangnya bila mendapat pujian) sama ada dari kawan ataupun lawan agar segala kelemahan dapat diperbaiki tanpa perlu terlalu beremosi.
Apabila dunia itu sekadar di tangan, pujian itu tidak meninggalkan kesan. Cacian itu bukanlah penambah beban.
Keep on moving!







