Dec 31, 2008 5 comments By: Nafsah Dulajis

IZINKANLAH...




Peluru-peluru yang tiada mengenal mangsa,

Ledakan bom yang tiada bermata,

Yang tiada berdosa terhukum semua,

Izinkanlah...

Kedamaian itu berulang semula.


Kita umpama buih-buih,

Dicampak tak rugi,

Ketemu tak pasti,

Tiada untung,

Mustahil rugi.

Kerana wahan beraja di hati.

Izinkanlah...

Kemenangan itu beraja semula.


Sakit saudaraku,

Diriku tiada menahu,

Lapar dahagamu,

Tangismu tiada menentu,

Aku sekadar kaku,

Dimana sudah syahadahku?

Padahal kerana itu kita menyatu,

Aku buntu!

Izinkanlah,

Kekuatan itu menggila semula.


Ampun kupohon dari kejauhan,

Diriku tiada berguna,

Tangisku tiada berdaya,

Doa dihulur tanda setia,

Mungkinkah esok adalah harinya?

Izinkanlah,

Kesatuan itu bercantum semula.


Kita diuji waktu,

Sabar menjadi penentu,

Masanya pasti tiba,

Meski aku dan dirimu tiada tahu,

Jangan pernah mengalah,

Kita bukan lemah.

PertolonganNya pasti tiba,

Saudaraku nantikanlah.






Dec 29, 2008 2 comments By: Nafsah Dulajis

MARI BERHIJRAH



“Kau percaya ada Tuhan?” Saya menyoal soalan paling susah. Boleh jadi juga yang paling mudah. Tubuh sedikit menggeletar. Ini bukan hal main-main. Akidah itu asas agama, bak tiang-tiang rumah. Runtuh satu goyah semuanya.

“Percaya,” dia menjawab yakin. Saya tersenyum. Ya, teringat kenangan tika sesi memperkenalkan agama masing-masing bersama rakan-rakan dari agama lain. Silap kata, tergelincirlah jawabnya. Takut!!!

“Kenapa pula? Kalau aku cakap Tuhan tiada?” Saya mengusul lagi, mengajaknya berfikir. Ah, tidak berapa suka menggunakan cara sebegini. Dia budak bijak, dengan berfikir sajalah akan dapat memuaskan tanda tanya dalam jiwanya. Begitu saya meneka.

“Ada.” Dia menjawab lagi. Keyakinannya tampak tidak berkurang. Tapi tidak pula menunjukkan tanda untuk mengeluarkan hujah.

“Kenapa memilih Allah? Kan banyak kepercayaan lain?” Saya menjolok lagi. Tajam.

“Sebab saya lahir dalam Islam.” Ya, jawapan yang saya tunggu barangkali.

“Itu saja?” balas saya masih tidak berpuas hati. Kalau lahir dalam agama lain maka lainlah Tuhannya. Pastilah begitu bukan?

Dia terdiam. Kaku. Bungkam. Ah, benci juga pada situasi begini!

ISLAM WARISAN DAN ISLAM PILIHAN

Segala puji hanya buat Allah yang menganugerahkan Islam sebagai agama yang kita anuti. Nikmat yang tidak ada tolok bandingnya, walau segunung emas sebagai ganti. Soalnya bagaimana mereka yang mengaku Muslim itu mensyukuri pemberian Ilahi? Bagaimana mereka yang mengaku beriman itu mengusahakan imannya ke dalam perbuatan? Dalam pekerjaan? Dalam percakapan? Mengusahakan agar Islam itu berkekalan menjadi miliknya? Dan yang paling penting, menyimpan nikmat iman itu dalam kotak kecil yang fragile dan berada dalam genggaman Ilahi yakni hati?

Minggu-minggu kebelakangan ini saya isi dengan banyak bercakap mengenai kefahaman beragama sama ada dalam usrah ataupun dalam majlis-majlis lainnya. Sesiapa yang dikehendaki Allah kebaikan padanya, maka kefahaman beragama itulah menjadi jaminannya. Meskipun segala itu ketentuan Allah, bukan bermaksud kita ini tidaklah perlu berusaha ke arahnya.

Kitab ‘Wajibul Syababil Muslim al-Yaum’ (kewajipan remaja Muslim hari ini) karangan Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyebut akan kefahaman yang sahih dalam beragama itu sebagai tuntutan yang paling aula buat remaja. Kitab itu menjadi silibus usrah bagi pelajar perubatan tahun satu yang menarik saya untuk terus membincangkannya secara berkesinambungan minggu demi minggu.

Sistem pendidikan yang menekankan aspek duniawi lebih daripada ukhrawi mencabuli akal-akal remaja yang penuh potensi daripada menjadi manusia dalam erti kata yang sebenarnya. Berpelajaran tidak berpendidikan. Usah dikecohkan kes rogol yang berleluasa. Gusar pada kes buang anak yang tumbuh melata. Terancam pada kes bunuh diri yang tidak terkira. Bila manusia tidak merasa berTuhan, maka lakukanlah sesuka hatinya. Jangan salahkan remaja-remaja liar itu. Bukan salah guru-guru yang sudah berpenat lelah. Tidak juga pada ibu bapa yang berhabis keluar belanja untuk membiayai yuran pengajian anak-anak. Habis tu, apa masalahnya? Kerana TIDAK MAHU dan BUAT-BUAT TIDAK TAHU. Itu saja.

“Siapa yang mahu faham agama?” wajah adik-adik saya itu direnung satu persatu. Semuanya hebat-hebat belaka. Semangat tinggi. Cakapnya berapi. Jangan dibunuh potensi sebegitu dengan kemalasan. Apatah lagi dengan kejahilan.

“Tu. Itu!” ujar saya menunjuk kepada naskhah Al-Quran yang ada di tepi. IQRA!!!

Kembalilah kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Mudah-mudahan tidak bergelumang dengan kesesatan selamanya.

Berhijrah dari Islam yang selama ini kita warisi, kepada Islam yang kita fahami. Islam yang kita kenali. Islam yang kita cintai. Itulah Islam yang kita pilih.

Sanggupkah kita?

HIJRAH PERLUKAN USAHA

Sejarah penghijrahan Nabi mengajar kita bahawa kerja keras dan usaha sangat-sangat dituntut dalam mencapai keinginan. Meskipun Nabi itu adalah Nabi, bukanlah bermaksud baginda cuma perlu bergoyang kaki dan menunggu bantuan Ilahi. Apatah lagi kita insan yang kerdil tidak berdaya ini, entah di mana saja darjatnya di sisi Ilahi. Masakan berasa memiliki, bebas meminta itu dan ini?

Di mana imannya mereka yang mengaku beriman tetapi berlaku zalim? Di mana imannya mereka yang melaung syahadah tetapi memakan rasuah di malam hari? Bukan tidak tahu, sememangnya tahu. Sengaja buat-buat tidak tahu. Tidak pula berasa mahu. Bentingal!!!

Apa yang perlu dilakukan pada iman yang sudah diakui? Percaya pada Tuhan, kemudian duduk menunggu mati. Mengharap syurga datang sendiri. Begitu? Kenalilah apa yang sudah diimani. Bagaimana mencintai sesuatu yang tidak diketahui? Bagaimana menyukai perkara-perkara yang tidak dimaklumi? Begitulah perihalnya Islam hari ini, dimiliki oleh mereka yang tidak mencintai. Jauh sekali mengenali. Ah, bukan tak tahu. Tapi tak mahu!

Sudah seharusnya anugerah iman dan Islam itu kita iktiraf dengan berusaha mengekalkannya dan memeliharanya sebaiknya. Adakah manusia yang berasa senang dengan harta kesayangannya yang dicuri? Begitulah kita menjaga agama kita. Andai benar Islam ini yang kita cintai. Kenalilah. Cintailah. Peliharalah. Pertahankanlah!

Dan usaha mengenali, mencintai, memelihara dan mempertahankan harta yang dicintai itu memerlukan kudrat. Memerlukan keringat. Bezanya ada yang mahu. Ada yang buat-buat tidak tahu. Janganlah kita memilih untuk statik pada titik-titik tertentu yang tidak mampu pula memberi keuntungan. Tanamkan tekad, kerahkan kudrat. Raihlah apa yang mahu dimiliki. Kereta bagaimana mahal sekalipun memerlukan bahan api untuk menggerakkannya. Barulah dapat mengubah koordinat! Hasilnya, yang mahu berjalan akan sampai ke destinasi yang dipilihnya. Yang malas dan longlai berlengah-lengah lagi. Tidak mampu memiliki. Tidak akan mencintai.

Kalau anda dari golongan yang mahu berhijrah itu, sediakan kelengkapan anda secukupnya. Apa yang sudah tersedia? Berapa lama mampu bertahan? Sejauh mana adanya kesabaran? Bukan apa, risau andainya kereta mahal anda itu tersadai di tengah jalan, kerana bekalan yang tidak kecukupan. Pastilah hijrah sebegitu berkesudahan dengan kegagalan.

Hijrah perlukan usaha. Jangan berani ‘bermimpi’ andai mata untuk dilelapkan agar tertidur tidak mampu dimiliki.

SAYA, KEMBARA DAN HIJRAH

Sedar tidak sedar, matahari sudah selesai menghabiskan kitaran pusingannya entah untuk kali yang ke berapa. Kini kalendar bertukar lagi. 1430 Hijrah, hampir serentak dengan bertukarnya 2008 kepada 2009 Masihi. Betapa kita dikejar waktu yang sentiasa cemburu.

Sedar tidak sedar juga, sudah hampir dua tahun empat bulan saya berada di perantauan tanpa balik ke tanah air walaupun sekali dalam tempoh tersebut. Saya tidak pernah berjauhan dari rumah sebegitu lama tambahan pula saya bukanlah pelajar sekolah berasrama ketika bersekolah dahulu. Tahu tahu saja sudah pergi sebegini jauh, merantau mencari ilmu. Tidak reti pulang pula tu. Kasihan juga pada yang menunggu...T_T

Tahun baru ini menandakan usia saya yang bakal mencecah 21 tahun. Nombor yang agak unik dan istimewa saya kira. Bukan kerana banyaknya, tidak juga kerana bunyinya. Sekadar berasa ia adalah penanda aras yang memberi isyarat untuk mengorak langkah mencetus perubahan. Mungkin sudah sampai masanya...

Hijrah bukan sahaja perlu dilakukan setiap kali bermulanya tahun baru. Tidak pada bertambahnya umur pada tiap kali ulangtahun kelahiran berlaku. Hijrah tidak mengenal masa. Tidak memilih waktu. Hijrah itu sesuatu yang sangat-sangat perlu. Dan ia mesti dilakukan apabila mampu tanpa perlu bertangguh. Saat ini juga kita perlu berhijrah!

Sudahkah azam-azam yang dibisikkan di hati pada sesi-sesi yang lalu dipenuhi? Belum, itu jawapan saya. Anda bagaimana? Sudahkah dihisab baik buruk dan kalah menangnya kita pada masa-masa yang lampau? Baikkah? Burukkah? Ataupun sudah sedia kalah? Andai semua jawapan negatif yang menyahut, maka rasanya hijrah itu bukan lagi satu keperluan, pasti saja ia adalah satu kewajipan. Hijrah yang bagaimana pula yang kita mahu?

Kitaran kehidupan kita yang singkat secara drastik atau perlahan-lahan pasti diwarnai perubahan yang mendatang selaras dengan masa dan keadaan. Bagaimana perubahan itu tercetus dan apakah penyebab kepada perubahan itu bukanlah menjadi persoalan utama. Sebaliknya APAKAH perubahan yang berlaku itu lebih dititikberatkan. Rugilah mereka yang mempersiakan hidupnya dengan sentiasa berada di takuk yang lama, lantaran keengganan melaksanakan perubahan. Pastilah islah ke arah kemajuan yang kita inginkan. Tidaklah Allah mengubah nasib kita ini melainkan kita berusaha jua ke arahnya.

Kehidupan di bumi anbia ini dengan seribu satu cabaran serta karenahnya terlalu banyak mendewasakan saya. Keldai-keldai yang tidak mengenal penat lelah dipukul seharian diminta berjalan mengajar saya akan makna kerehatan dalam kehidupan. Kehidupan masyarakat di sini yang sedikit kasar mendidik saya agar menjadi lebih berani. Kehidupan bersama orang-orang lain yang tidak mengenali saya dari awalnya memberi petunjuk kepada saya akan perhubungan sesama manusia. Apa lagi, berjauhan dari keluarga dan membuat semua kerja sendiri seakan menampar saya dengan perkataan berdikari. Terima kasih di atas nikmat kembara ini, sungguh bererti dan sudah seharusnya disyukuri. Sungguh-sungguh kembara ini mengajar saya mengenal diri!

BERHIJRAHLAH HARI INI

Pasti saja ada bisikan-bisikan yang inginkan kemajuan pada kebolehan diri. Sama ada ia datang atas dasar perlu atau mungkin jua dikuasai rasa mahu. Titik tolaknya adalah sebesar manakah USAHA yang sanggup dilaburkan untuk mengubah bisik-bisik itu menjadi keringat? Setinggi manakah tekad yang sanggup dibayar untuk melihat bisik-bisik itu daripada sekadar memikirkannya? Di situlah beza orang yang berangan-angan dan orang yang bercita-cita. Pada praktikal hasil dari jelmaan mindanya, bukan pada asakan impian yang tidak mahu direalisasikan menjadi kenyataan. Jangan panjangkan angan-angan, sebaliknya kukuhkanlah kekuatan untuk mengubah harapan menjadi sesuatu yang boleh dijelmakan kepada tindakan. Jangan sekadar berteori, ubahlah ia menjadi praktikaliti. Talk less, think more, DO more.

Terharu membaca entry sahabat saya di Russia yang mengingatkan diri agar tidak berhijrah sendirian. Kita tidak sehebat Saidina Umar, jauh sekali segagah Khalid Al-Walid. Bawalah teman-temanmu melalui jalan-jalan hijrah itu. Agar bila terjelepuk jatuh ada saja yang membantu. Agar bila tersedu sayu ada pula penghibur hatimu. Agar bila sampai ke destinasi kegembiraan itu dikongsi antara mereka dan dirimu. Berusaha supaya diri dapat memberi manfaat kepada semua, bukankah kita mahu menjadi sebaik-baik khalifah yang diciptakan Allah?

Apa yang pasti, pilihan kita untuk mengubah diri dan apa yang ada di persekitaran memberi cabaran buat kita agar lebih tekun berusaha. Jangan berani bermimpi andai enggan berpijak membanting tulang pada realiti. Saya doakan kita diberi kekuatan agar dapat menelusuri hari demi hari. Bukan sekadar menanti hari datang dan pergi silih berganti, seolah-olah menunggu mati. Jadikanlah hari ini lebih baik dari semalam. Titik tolaknya pada momentum hijrah yang sanggup anda laksanakan. Masa depan dicorakkan oleh kita di saat ini. Mari berhijrah ke arah Islam yang lebih gemilang!


Dec 26, 2008 7 comments By: Nafsah Dulajis

JANGANLAH MARAH-MARAH...


“Tajuk tazkirah saya pada hari ini ialah ‘marah’,” TJ memulakan sesi tazkirahnya pada usrah minggu lalu. Kami mendengar dengan tekun. Masing-masing memasang telinga.

“Apa itu marah?” seperti biasa TJ akan cuba menyoal ahli usrah yang lain, supaya interaksi dua hala yang lebih berkesan berlaku.

“Emosi.”

“Perasaan.”

“Sikap yang tidak dapat dikawal.”

Berbagai-bagai jawapan lagi kedengaran. Saya juga bersungguh mendengar. Ini seperti ikan diberi umpan sahaja, sememangnya tajuk ini begitu menarik perhatian saya. Kerana kaitannya dengan Psikologi barangkali.

Teringat waktu-waktu emak meleteri saya ketika muda-muda dahulu. Zaman kenakalan sayalah. Kalau emak tengah marah, seperti selalunya saya akan diam. Orang yang marah jangan dilayan sangat. Biarkan dulu, lama-lama sejuklah tu. Jangan disanggah-sanggah cakapnya, nanti melarat pula. Kalau perlu dimenangkan cakapnya, menangkan sahaja. Begitu pilihan yang saya lakukan. Kadang-kadang saya merasa geli hati sendiri. Orang yang marah bertambah marah pula melihat kita seperti tidak merasa apa. Aik, diam salah. Menjawab lagilah salah. Habis tu nak buat apa? ^_^


Tengok apa?!


MARAH BERERTI KALAH

Pendeta, ilmuwan, angkasawan mahupun jutawan, semuanya kelihatan sama sahaja apabila marah sudah merasuki diri. Sama ada marah ini dikategorikan sebagai sikap ataupun sifat, yang nyata perbuatan ini bukan mudah untuk ditiadakan dalam hidup seseorang yang bernama manusia. Istilah psikologi mengkategorikan marah ini sebagai ‘perasaan’ (feelings) sebagai ekspresi kepada emosi (emotions). Terdapat beberapa teori mengenai emosi yang cuba mengaitkan sikap manusia dengan keadaan fisiologi tubuh badannya. Antaranya James Lange Theory, Cannon-Bard Theory, Lindsley’s Thoery, Papez-Maclean Theory dan Schacter-Singer Theory. Memang tidak dinafikan tindakan marah ini berkait rapat dengan sistem yang terdapat di dalam tubuh tidak kira apa jua mekanisma yang membawa ke arahnya.

Dari sudut yang lain pula, marah berhasil dari hati yang dipandu oleh nafsu kerana kegagalan akal menewaskan nafsu yang melulu. Pertimbangan yang hilang dalam kata lainnya. Meskipun akal bersetuju bahawa marah itu adalah satu sikap yang buruk, akal masih boleh tertewas oleh desakan nafsu yang dirangsang untuk berasa marah. Oleh itu, hati sekadar menurut penasihatnya yang berjaya. Akhirnya nafsu berjaya membawa amarah.

Takutnyee...


RASA KEHAMBAAN

Sebelum memarahi insan lain kenangkanlah diri kita yang terlalu banyak berbuat dosa kepada pencipta. Kita ini seharian berbuat pelbagai dosa kepada Al-Khaliq, mujur saja Dia Yang Maha Penyayang itu menahankan lagi azab-Nya. Baru sahaja diuji sedikit dengan kesilapan manusia lain, begitu mudah pula kita mahu memarahi. Bayangkanlah andai sahaja Allah menghitung tiap satu daripada dosa kita dan menghukumnya, tidak tertahan kita ini menanggungnya. Sudah sepatutnya sifat Al-Ghaffar itu dicontohi, agar diri mudah memberi maaf lantaran menyedari diri sendiri seolah tidak layak untuk dimaafi. Berilah maaf, pohonkanlah kemaafan. Tidak malukah kepada Tuhan yang begitu mudah mengampunkan,sedang Dia punya kuasa membinasakan? Let’s learn to forgive and forget!

“Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang ma'ruf, serta berpalinglah daripada orang-orang yang jahil”

(Al-A’raf;199)

Man ‘arofa nafsahu, faqad ‘arofa Rabbahu!

(Sesiapa yang mengenali dirinya, maka dia mengenali Tuhannya!)


Jongos kan?


HUKUM ITU ZALIM

Dalam menganalisa kelakuan manusia yang tiap satunya pasti ada salah silapnya, didiklah diri untuk tidak TERLALU MENGHUKUM. Andai mahu dihitung kekurangan tiap-tiap individu dan bertindakbalas padanya, pastilah kita ini tidak punya kerja lain melainkan mencari kesalahan orang sahaja. Bukankah semua manusia itu tidak mampu berlaku adil sepanjang masa? Maka sudah tentulah ada sahaja kezaliman yang bakal dilakukan, tidak kira kecil ataupun besar. Kenapa pula perlu memarahi, andai semua manusia juga fitrahnya berlaku ‘zalim’? Berlapang dada dan berilah kemaafan, itulah serendah-rendah prinsip dalam hidup bersaudara!

Bila ada insan yang melakukan silap dan salah kepada kita, sebagai insan yang lemah pastilah kita ini tidak terlepas dari merasa marah. Walau sabar bagaimanapun namanya manusia itu punya rasa marah bila saja dirinya merasa tercabar.

Kerana itulah orang yang dapat menahan marahnya dikira kuat dan gagah. Nyata sikap sabar itu bukannya mudah untuk mengatasi rasa marah. Dan orang yang marah mudah sekali hilang pertimbangannya lantaran menurut ‘rasa’nya. Meskipun dia seorang pendeta, ilmuwan, cendekiawan, semuanya hilang kewarasan apabila marah sudah mengatasi diri. Begitulah, mereka yang kuat itu memaafkan sedangkan dia berhak berasa marah, sedangkan dia punya kuasa menghukum. Itulah orang yang gagah sebenarnya.

“Orang yang kuat itu bukan terletak pada kemampuan berkelahi, tetapi orang yang kuat itu adalah yang dapat mengendalikan diri mereka ketika sedang marah” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Tahanlah marahmu dan jadilah orang yang paling gagah!


Cabut gigi tu karang...


UBAT MARAH

Ubat marah ini bukan seperti ubat nyamuk. Bakar mosquito coil atau spray sahaja nyamuk-nyamuk itu, insyaAllah aman bersemadi. Tapi marah bukan begitu mudah hendak dimatikan dari hati. Dan seperti kebiasaannya pastilah MENCEGAH itu lebih baik dari MENGUBATI.

“Jika salah seorang antara kalian marah sedang pada saat itu ia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah ia duduk. Namun jika tidak hilang juga marahnya, maka hendaklah ia berbaring.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Kalau tengah marah, duduk.

Masih marah lagi?

Baring.

Belum sejuk jugak?

Wudhu’.

Aik, tak habis-habis lagi?

Siram air sebaldi! Habis cerita. y(^_^)y

“Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan sesungguhnya syaitan itu diciptakan daripada api, dan api itu hanya dapat dipadamkan dengan air. Oleh kerana itu, jika salah seorang daripada kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk.” (Hadis riwayat Abu Daud)

JANGANLAH MARAH...

Sudah menjadi kebiasaan andai diusik orang yang tengah marah dengan ayat-ayat yang biasa kita dengari:

“Jangan marah, nanti lekas tua.”

“Jangan marah nanti kena jual!”

“Jangan marah, nanti muka hodoh.”

Tahanlah marah, berilah kemaafan. Kenangkanlah kesalahan, nescaya gentar menghukum insan!

“Dan (bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan- perbuatan keji, dan apabila mereka marah mereka memberi maaf.”

(Asy-Syuura;37)

Agama ini tidak wujud untuk menjadikan manusia bijak-bijak belaka.

Agama ini bukan bertanggungjawab untuk melahirkan manusia yang kaya-raya.

Tidak lain agama ini dicipta untuk melahirkan manusia-manusia yang berAKHLAK.

Akhlak yang mulia itu lahir dari pemikiran yang baik, mentaliti yang betul, mujahadah yang tinggi.

Sesungguhnya agama di sisi Allah adalah Islam.

Segala puji bagi Allah kerana mengizinkan kita menumpang kemuliaan pada agama ini.

Katakanlah: " Dialah yang berkuasa untuk mengirimkan azab kepadamu, dari atas kamu atau dari bawah kakimu atau Dia mencampurkan kamu dalam golongan-golongan (yang saling bertentangan) dan merasakan kepada sebahagian kamu keganasan sebahagian yang lain. Perhatikanlah, betapa Kami mendatangkan tanda-tanda kebesaran Kami silih berganti agar mereka memahami(nya)".

(Al-Anam;65)

Pesan Allahyarham P. Ramlee dalam wayangnya 3 Abdul,

“Jangan marah, nanti kena jual!”

^_^