Seramai 50 orang pelajar yang dipilih pada mulanya dari seluruh negeri Sabah untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di bumi Mesir ini. Saringan demi saringan dilakukan, akhirnya tinggallah 20 orang. Pada mulanya surat tawaran menyatakan akan kewajipan menghafal 30 juzuk Al-Quran seandainya ingin melanjutkan ijazah perubatan di sini selama enam tahun. Percaya atau tidak, ada yang menolak tawaran tersebut dan menarik diri hanya kerana tidak mahu menyahut cabaran itu. Rupa-rupanya perkara sebegitu itu tidak ada.
Dan akhirnya, saya di antara salah seorang daripada yang ‘terhantar’.
Allah itu Maha Merancang.
Terharu membaca post Hana yang ini, menyebabkan diri merasa tidak layak. Sungguh-sungguh sikit sekali kita (saya) sebagai hamba ini mensyukuri nikmatNya. Sedikit sungguh!
Menjelang akhir tahun ketiga pengajian ini, terlalu banyak perbezaan dalam kehidupan yang sudah dirasai. Ditambah-tambah dengan kes ponteng yang mencapai tahap MELAMPAU-LAMPAU di universiti kala ini, membuatkan saya sering berfikir.
Untuk apa kita menuntut ilmu? Meredah jauh beribu batu, meninggalkan tiap sesuatu yang dirindu, melupakan kesenangan hidup untuk berlayar sendirian di bumi Allah ini?
Kerana kertas itu.
Ya, kerana sijil itu!
NIAT ITU BAHAGIAN AGAMA
Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs, Umar Al Khattab R.A berkata Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:
“Bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat dan setiap orang mendapat (pahala) berdasarkan apa yang dia niatkan. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu adalah bagi Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang akan diperolehinya atau kerana perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang dia niatkan”
Semudah itu perbandingannya kita.
Andai sehelai kertas cantik bernama sijil itu yang kita idamkan, maka nantikanlah kedatangannya di hujung usia pengajian.
Seandainya pekerjaan yang baik kita citakan, maka bersedialah menjemputnya di alam pekerjaan.
Andai saja Allah dan RasulNya menjadi keutamaan, maka penghujungnya masih ada di hadapan. Penuh halangan. Tetapi bersulam kemanisan.
Mungkin kejayaan itu tidak terserlah di dunia.
Tetapi Allah dan RasulNya menanti di akhirat sana, andai saja niat kita kerana mereka.
Ada yang mendapat sijil di dunia. Alangkah gemilangnya hidup mereka.
Ada yang meraih sijil di dunia, dan mengharapkan ganjaran mulia di akhirat sana.
Yang paling beruntung adalah yang berjaya di akhirat, kerana akhirat itu lebih baik dan kekal.
Pertimbangkanlah semula apakah yang sebenar-benarnya terdetik di dalam hati kita ketika ingin menuntut ilmu?
Kata orang, mempelajari ilmu perubatan ini menambahkan keimanan. Benarkah?
Benar, bagi mereka yang mencari ilmu kerana Dia. Sedang yang lain beroleh sekeping kertas semata.
Ya, kertas itulah yang menjadi cita!
TADHIYYAH
Mengimbau kenangan yang tidak terlupakan, apabila terpaksa NAIK SAMPAN untuk ke universiti lantaran jambatan yang ada dirobohkan untuk pembaikpulihan. Kerana malas hendak menyusuri satu lagi jambatan yang sedikit berjauhan, kami menaiki sampan merentasi sungai Nil yang sekangkang kera cuma lebarnya itu.
Wah, ini sememangnya pengalaman yang tidak boleh dijual beli.
Harga pengorbanan inilah yang kami bayar untuk sekeping kertas bernama sijil itu.
Setiba waktu peperiksaan, masing-masing dengan perangainya.
Tekanan perasaan, bayangkan begitulah hebatnya pengaruh sijil itu dalam kehidupan.
Yang teresak-esak menangis.
Yang menduduki peperiksaan dengan muka pucast lesi.
Hebat rupanya penangan kertas nan sekeping itu.
Dan setelah berhempas pulas mengorbankan beberapa perkara, di hujung perjuangan itu kami dihadiahkan sekeping kertas yang bernama sijil.
Ada pula yang mendapat selain daripada itu. Iaitu Allah dan RasulNya. Kerana sedari awal mereka meniatkan usaha mereka untuk Allah dan RasulNya.
Sambil mendapat sijil, mereka mendapat sesuatu yang lebih kekal abadi.
Mendapat dua adalah lebih baik daripada satu, saya rasa mudah untuk difahami yang itu.
Dapatkan kertas itu, demi bertemu Allah dan RasulNya nanti.
Kejarlah akhirat, gendonglah dunia.
Dunia hari ini menuntut kita menjadi hebat di SINI dan di SANA. Bagaimanakah kita hendak membawa agama Allah, sedangkan kita memandang leweh pada aspek keduniaan yang menuntut kita untuk turut sama menjadi pakar di dalamnya?
"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan JANGANLAH engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia"
(Al-Qasas;77)
Demi sekeping kertas itu, kita gendong dunia ini sambil menuju ke akhirat sana. Jangan melepaskan satu daripada keduanya. (Nasihat untuk diri yang sangat pemalas menjelang musim exam ini)
Bergeraklah para pembawa agama Allah!


0 comments:
Post a Comment