Seolah tidak sempurna rasanya apabila tidak berkongsi serba sedikit mengenai puasa pada bulan Ramadhan yang mulia ini.
Apabila menjelang Hari Raya Aidil Fitri, kebanyakan daripada kita menganggap hari itu adalah kebebasan daripada pelbagai perkara yang sudah dikekang pada bulan Ramadhan sebelumnya.
Aidil Fitri, hari kita kembali kepada fitrah. Dan kita maklum bahawa Islamlah agama yang mengekalkan seorang manusia dalam keadaan fitrahnya yang suci. Islamlah yang memelihara manusia supaya berada dalam keadaan tenang dan tenteram dengan sentiasa mematuhi ajarannya.
Terkadang apa yang difahami pada Aidil Fitri itu adalah semata-mata kembali kepada fitrah atau kebiasaan harian yang boleh makan dan minum serta perkara lain seperti sebelumnya. Benarkah begitu?
Apakah hakikatnya Aidil Fitri (kembali kepada fitrah) itu?
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, supaya kamu bertaqwa”
(Al-Baqarah;183)
Alhamdulillah, puasa itu melahirkan taqwa. Puasa itu melahirkan insan yang berjaga-jaga pada perlakuannya.
Kita soroti sedikit mengenai puasa dan kaitannya dengan makan dan minum serta nafsu manusia.
Pemakanan manusia dikawal oleh dua pusat yang terletak pada hypothalamus dan juga pada limbic system (bahagian berlainan otak manusia) Dua pusat yang dimaksudkan adalah Feeding Center dan Satiety Center yang terletak pada hypothalamus. Feeding Center adalah pusat yang apabila dirangsang ia meningkatkan aktiviti pengambilan makanan dan keadaannya aktif sepanjang masa. Bermaksud Feeding Center ini menyebabkan manusia sentiasa hendak makan. Satiety Center pula adalah pusat yang menghalang atau menghentikan aktiviti pengambilan makanan itu dengan mewujudkan rasa kenyang (satiety).
Apabila kita memerhatikan sifat Feeding Center yang sentiasa aktif dan dibandingkan dengan sifat Satiety Center yang hanya bertindak pada keadaan tertentu, maka dapat kita katakan bahawa kalau tidak dilatih manusia itu cenderung untuk makan berterusan. Nafsu makan manusia itu cenderung untuk terus-terusan makan, sehinggalah Satiety Center menghalangnya.
Maka sucikanlah nama Allah yang berfirman:
“Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan “
(Yusuf;53)
Bermaksud, saya mengatakan makan banyak itu adalah suatu kejahatan. Mengapa pula demikian?
Bukan anda tidak menyaksikan bahawa makan banyak itu mengundang banyak penyakit, lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Dan banyak lagi keburukan makan berlebihan bukan saja dari sudut kesihatan, bahkan juga dari sudut perlakuan dan yang lainnya. Jika begitu, apakah dengan tidak makan berterusan itu satu kebaikan pula?
“Dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau-lampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas”
(Al-A’raf;31)
Terlalu lapar itu salah, terlalu kenyang itu juga tidak betul. Ya, agama ini agama bersederhana! Maka Islam datang sebagai ‘manual’ kepada pemeliharaan tubuh manusia. Kerana terlalu lapar dan terlalu kenyang itu kedua-duanya mendatangkan musibah, sedang manusia itu cenderung untuk makan berterusan sifatnya. Maka dengan adanya puasa ini, ia melatih diri manusia untuk mengawal nafsunya, supaya dapat dilatih dan tunduk patuh pada kehendak Tuhan.
Bukankah orang yang paling kuat itu adalah orang yang dapat mengawal dirinya?
Bagaimana pula dengan nafsu yang lain?
Nafsu marah.
Nafsu untuk melihat yang dilarang.
Nafsu untuk berkata yang sia-sia.
Nafsu untuk mendengar yang ditegah.
Nafsu untuk bersuka-ria dan sebagainya.
Cuba anda perhatikan, apakah perkara-perkara yang di atas itu cenderung kepada kejahatan ataupun kebaikan?
Saya pasti anda maklum akan jawapannya.
Maka datanglah Islam ini sebagai agama yang memelihara fitrah manusia. Sejak lahir lagi manusia itu Islam semuanya, fitrahnya suci. Tetapi apabila membesar sesetengah fitrahnya terabai kerana ajaran Islam itu tidak dipatuhi sepenuhnya.
Nafsu-nafsu yang tidak dilatih itu akhirnya cenderung kepada kejahatan semuanya. Kerana ketandusan ‘manualnya’ (ajaran Islam) yang mampu memelihara fitrahnya itu agar berterusan dalam keadaan yang sepatutnya. Dapat juga disimpulkan bahawa nafsu itu menjadi ujian juga cabaran buat manusia, untuk menilai siapa di antara mereka yang lebih baik amalannya. Dan membezakan yang sabar serta sanggup berjihad menentangnya untuk membuktikan keimanan mereka.
Inilah bulan Ramadhan yang padanya penuh peraturan dan disiplin yang ditetapkan. Bulan yang melatih nafsu yang cenderung kepada kejahatan itu supaya kembali kepada fitrahnya yang sempurna. Semoga bulan Ramadhan ini kita agungkan bukan semata-mata kerana fadhilatnya, tetapi juga sebagai tanda iman ke atas kekuasaan dan keagungan Allah yang menciptakan manusia. Dan demi kesyukuran di atas rahmat yang dikurniakan Allah ini kepada kita, iaitu manual yang mengembalikan manusia kepada fitrahnya. Itulah ajaran Islam yang merupakan cara hidup seluruhnya. Dan siapa yang mencari selainnya, kehinaanlah buat mereka dan selain Islam itu semuanya adalah kerugian semata.
Segala puji bagi Allah yang memilih kita hambaNya ini untuk dimuliakan dengan Islam, panduan manual teragung di muka bumi ini. Semoga ketibaan Aidilfitri itu tidak disambut kosong, bahkan dapat mengembalikan kita semula kepada fitrah dengan izin Allah.
“Bagi orang yang berpuasa itu ada dua kegembiraan; kegembiraan pertama ketika waktu berbukanya, dan kegembiraan yang kedua di waktu menemui Tuhannya. Dan sesungguhnya mulut orang yang berpuasa sangat harum di sisi Allah dari bau kasturi."
Ya Allah, kembalikanlah kami kepada fitrah dengan Islam ini. Dan dengan kasih sayangMu temukanlah pula kami denganMu di akhirat nanti.
Ameen.


0 comments:
Post a Comment