Aug 30, 2009 By: Nafsah Dulajis

Merdeka yang jauh



31 Ogos ini, genap 3 tahun diri di perantauan. Dan tiga tahun yang penuh warna-warni itu mengajar terlalu banyak perkara.

Alhamdulillah.

Diri menjadi dewasa, dan semakin mengerti akan tujuan dan sasarannya. Semakin masak dengan percaturan hidup itu dan permainan manusia pula. Dapat memahami di mana titik mula dan garis akhir. Di mana titik temu dan penyebab infiniti. Kembara yang menjadikan diri semakin mengerti.

Sungguhlah hidup tanpa kembara itu ibarat bunga kembang tak jadi.

Syukur dan puja-puji itu semuanya kembali kepada Dia semata, atas curahan nikmat dan kasih sayangNya.

Kembara itu perlu kepada furqan, supaya diri tidak kesesatan. Dialah yang Maha Memelihara, saat diri masih dalam kandungan hinggalah kembali semula kepadaNya.

Dan itulah dia taqwa yang menjadi pembuka segala jalan kebaikan, moga sentiasa berada dalam keselamatan.

Sampai satu ketika diri tertawa pada silap dan salah di masa lalu. Dialah yang Mengajarkan diri pada tiap kebatilan, agar menuju ke jalan kebenaran.

Lorong kebenaran itu semakin terang, sedang satu ketika ia suram. Siapakah yang memberi petunjuk melainkan Dia?

Hendak membela agama Allah, senjatanya jangan calang-calang. Sekadar diri yang masih umpama ikan bilis yang begitu mudah dikunyah, kecil seolah tidak berdaya. Jalannya masih jauh, bekalannya masih belum cukup!

Moga tiga tahun setengah yang berbaki itu membantu diri untuk melaksanakan reformasi. Menjadi ikan jerung dari sekadar ikan bilis kecil yang mudah saja terperangkap ke dalam pukat.

Dan itulah dia hijrah. Hijrah di alam kembara ini!

“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu”

Bermulanya hijrah dalam kembara demi mencari sinar yang lebih terarah. Hijrah itu bukan kerana takut. Bukan kerana berundur. Tapi untuk mencari kekuatan. Memasang strategi.

Perangilah mereka sehingga tidak ada fitnah, dan agama itu semata-mata untuk Dia. Terasa cahaya itu semakin hampir, bahkan terlalu hampir. Bukankah janji Allah itu sesuatu yang pasti ditepati?


Menjelang ulangtahun kemerdekaan ini pula, terasa merdeka itu masih jauh. Terperosok ke dalam kancah kekeliruan yang maha dahsyat.

Bilakah umat ini akan mencari jatidirinya sendiri, dengan tidak sekadar meniru apa yang diwarisinya sebelum-sebelum ini?

Bertaqlid buta itu salah.

Bilakah umat ini akan membanggakan apa yang sedia ditinggalkan Nabi, dengan tidak mencari-cari seribu satu pengganti?

Berfikir menggila itu silap juga.

Merdekakanlah diri dari kepompong yang membelenggu. Carilah kebenaran dengan membebaskan diri terlebih dahulu. Realitinya setiap kepompong ada kekurangannya. Mujur saja saya tidak mencari kesempurnaan, sebaliknya mencari kebenaran. Andai kesempurnaan yang dicari, maka akan kecewalah segala isi bumi. Tidak akan ketemu sampai mati.

Malang sekali ummah itu lena menjentik kepompong yang lain, tanpa mahu memperbaiki kepompongnya sendiri. Kalaulah bukan kerana kebenaran itu pahit, berebut-rebutlah pula hamba-hamba Tuhan itu menjelaskan.

Sedang Allah tidak malu menerangkan yang benar.

Merdeka itu terasa kian hampir. Seandainya saja ada kemahuan menghampirinya. Malangnya ummah itu tidak begitu.

Ah, merdeka yang masih jauh!

Barangkali berada di tengah itu lebih membahagiakan. Tidak ke mana-mana, ada di mana-mana!

Tidak mengapa. Berjuang walaupun terbuang.

Ataupun barangkali mewakafkan diri untuk ilmu itu lebih layak. Sehinggalah virus betaqlid buta dan berfikir menggila itu sembuh dari terus meratah ummah.

Ah, mencari haluan hidup rupanya saya.

“Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah)”

Akan kembali ke tanah air, doakan keselamatan saya. Dan semoga Allah mengampunkan dosa kita orang-orang beriman. Walaupun terkadang sesama mukmin itu ada rasa dengki, pada bahagian masing-masing yang ditetapkan Ilahi. Akan dicabutlah rasa dengki antara mereka itu pada hari yang sudah dijanji.

Ampunkanlah dosa-dosa orang yang beriman Ya Allah.


Terkadang hamba-hamba itu begitu mengutamakan pandangan manusia ke atasnya. Hanya segelintir yang gusar pada pandangan Allah pada dirinya. Kerana itu terkadang ketakutan pada kejian dan cacian manusia itu ada, sedangkan ketakutan pada kebencian Allah itu terbenam jauh di jiwa. Siapakah yang lebih tahu akan mereka yang selalu bermohon ampun pada tiap dosa dan salahnya tanpa mempedulikan pandangan manusia?

Lebih ramai pula yang risau pada pandangan manusia, sehingga pujian itu menjadi kebanggaan. Cacian itu menjadi beban.

“Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”

Jelaskanlah pula kepada hamba-hamba yang bertanya itu bahawa Allah itu dekat. Peliharalah Dia, nescaya Dia berada di depanmu. Sejengkal dihampiri, sehasta Dia mendekati. Sehasta dirapati, sedepa Dia menghampiri. Didekati dengan berjalan, Dia menghampri berlari!

Ke manakah golongan muqarrabin itu?

Tanyakanlah kepada hamba-hamba yang memikirkan tentang pandangannya terhadap Allah itu bagaimana pula pandangan Allah ke atasnya? Bersediakah dia memperbaiki keadaan dirinya dan menjadikan dirinya mulia pada pandangan Allah daripada menyibukkan dirinya pada pandangannya pula terhadap pencipta?

Sesungguhnya Allah itu dekat.

Hamba-hamba ini berbalah pada sesuatu yang ada di hadapannya. Apakah mungkin mata hati itu yang buta?

Merdekakah jiwanya?

Bilakah pula umat ini akan benar-benar merdeka?


Kekesalan dan tolehan ke belakang atas kegagalan silam jangan membantutkan kemajuan diri. Memang kegagalan itu mengajar supaya jangan ia diulang lagi. Tiadalah mengambil pengajaran melainkan orang-orang yang berakal fikiran.

Mudah-mudahan tiga tahun setengah yang berbaki dapat dimanfaatkan sepenuhnya insyaAllah. Kelalaian sebelum-sebelum ini mengajar nilai masa. Masa sekelumit cuma, sedang bebannya tiada terkira. Dan kesilapan-kesilapan itulah yang mengajar diri. Untunglah manusia yang tahu dirinya serba jahil, kemudian belajar supaya berilmu. Jangan terlalu gentar dengan kegagalan, itulah guru terbaik kepada kejayaan. Asal sahaja niatnya memperbaiki amalan, tidak mungkin ada yang berani menjatuhkan hukuman.

Ya Allah, berikanlah kekuatan.

Untuk Dia, terima kasih kerana memilih diri ini.

Untuk ayah dan bonda tercinta, syukur selalu pada Yang Esa. Kerana kalianlah saya masih berdiri!

Untuk sahabat-sahabat seperjuangan, moga selalu dilindungi Ilahi. Moga Allah meredhai anda semua.

Terima kasih pada yang mendidik diri sepanjang tempoh tarbiyyah yang memeritkan ini.

Semoga tahun-tahun mendatang lebih cemerlang. Reformasi dalam hijrah untuk kembara yang lebih terarah. Nantikanlah ‘separuh masa kedua’ itu dengan sabar dan solat sebagai pembantu. Kerana merdeka yang jauh itu bakal didekati. Bebaskanlah diri terlebih dahulu dari apa jua yang sedia menghantui.

Ikhlas di hati,itqan berbakti,raihlah cinta Ilahi!


1 comments:

bayu pagi said...

Andai tidak mampu kita memerdekakan ummah dari kejahilan... lantaran hidayah itu milik Allah jua... teguhlah kita berpegang pada tali Allah, menjulang panji kebenaran... usah sedih andai dakwah mu dipandang sepi, kerana 950 tahun Nabi Nuh menyeru hanya 40 yang terpandu...
Selamat kembali ke bumi Malaysia...