“Kita berdakwah ini bukannya amar makruf sahaja…,”
Begitu pesan seorang mukmin kepada saya. Baginya yang arif hukum-hakam itu nahi mungkar adalah pada saling hukum-menghukum dan terjah-menerjah. Sedangkan buat saya yang jahil hukum-hakam ini nahi mungkar adalah pada saling memberi nasihat juga islah serta menyerahkan pemberian taufiq kepada Allah.
Saya sebenarnya... tidak menjalankan nahi mungkar itu.
“Pandai-pandai menulis itu dan ini. Bahasa Arab pun tidak lepas…,”
Begitu pesan Muslim yang lain pula. Baginya yang arif Bahasa Arab itu ilmu agama hanya boleh disampaikan oleh mereka yang ahli dalam bahasa agama juga. Walaupun jaminan kefahaman beragama dan bukannya bahasa agama itu semuanya dari Allah, andai Dia menginginkan kebaikan buat hambaNya.
Saya sebenarnya... bukan pelajar agama, sekadar budak kecil yang berusaha memahami agama.
“Merendah-rendahkan jemaah,” usik Mukmin yang lain pula. Dia yang tidak pernah menjenguk keadaan musuh-musuh di luar kepompongnya itu tidak berpeluang memerhati kekurangan-kekurangan yang ada padanya.
Saya sebenarnya... sekadar membawa perkhabaran dari luar kepompong, buat yang mahu mendengar lagi mahu mencetus perubahan.
“Tulis bukan main sedap. Gila sastera!” pesan yang lain pula.
Saya sebenarnya... bukan penggila sastera tetapi saya memahami bahawa kekuatan bahasa itu mampu menimbulkan emosi pembaca. Teringat pula pada kekuatan bahasa Al-Quran yang memukau penggila bahasa pada zaman Rasulullah, sehingga Baginda dipanggil penyair gila. Barangkali seandainya saya mampu menulis dalam Bahasa Arab dan mengindahkan susunan katanya barulah ia dikira sastera Islami.
Ummah yang terperosok ke dalam kancah kekeliruan yang maha dahsyat.
“Berdakwah melalui tulisan saja. Bukannya buat kerja apa-apa pun…,”
Nasihat yang diterima dengan lapang dada. Barangkali dakwah itu pada persatuan, usrah dan yang sewaktu dengannya sahaja. Barangkali menulis artikel panjang selama empat lima jam itu membuang masa, walaupun pada hakikatnya tidak begitu.
Saya sebenarnya... teringat akan pesanan menyeru orang lain ke jalan Tuhan dengan hikmah dan bijaksana, serta membantah perkataan mereka dengan cara yang sebaiknya juga. Dan itu semua tidak akan diperolehi kalau bukan bacaan yang banyak ditelaah terlebih dahulu, serta masa yang ada dinafkahkan untuk meningkatkan keupayaan berhujah.
Cukuplah Allah yang menghisab akan perbuatan tiap hambaNya. Dan Dia jualah yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata.
“Pandai-pandai membezakan akal dan otak!”
Ulas si mukmin yang lurus pula. Baginya ilmu itu semuanya pada yang dihafal dan mesti dicopy paste seratus peratus. Baginya budak kecil yang tidak ada sijil itu jangan bercakap melebihi mereka yang ada sijil.
Saya sebenarnya... teringat akan peranan penafsiran atau daya interpretasi yang dimainkan peranannya oleh dahi manusia. Sebagaimana ثم itu berbeza daripada ف, begitulah bahasa lain itu juga memiliki konsep yang sama.
Terima kasih atas pesanan.
“Entah ada lagi tidak ahli falsafah zaman sekarang ni. Membuang masa…”
Tidak tahu sama ada itu nasihat atau kutukan memusnah. Kata-kata yang bagaikan angin lalu di telinga.
Saya sebenarnya... bukan ahli falsafah atau penggila falsafah. Tetapi sekadar mengambil perhatian pada bidang itu yang sememangnya banyak kegunaannya juga.
“Jangan menegur yang duduk meninggi. Mereka itu betul semuanya…”
Terlintas juga pernyataan sebegitu di hati.
Saya sebenarnya... memahami bahawa ketaatan itu adalah pada Allah dan Rasul-Nya, bukannya pada batang tubuh manusia. Teringat pula akan Saidina Umar yang sangat tenang sedangkan orang bawahannya bersedia menghunus pedang untuk membetulkan dirinya.
“Memuji itu, mengkritik ini. Mengkritik itu, memuji ini. Apa fikrah dia ini sebenarnya?”
Saya sebenarnya... cuba berlaku adil selepas menjadi saksi pada banyak perkara. Pemerhatian selama tiga tahun itu cukup mematangkan diri. Mengapa barangkali kita suka memborong kebenaran secara pukal dan membakulkannya dalam satu kepompong sahaja?
Berlaku adillah, supaya dapat melihat kebenaran.
“Kalau awak dekat atas nanti jangan lupe tarbiyyah orang bawah ye…,”
Masih berlapang dada juga pada nasihat yang diterima.
Saya sebenarnya... mementingkan tarbiyyah juga. Tetapi bagaimana mungkin saya yang tidak ada tarbiyyah ini ingin memikul amanah? Apatah lagi mentarbiyyah insan lain. Jauh panggang dari api…
Tetapi apabila saya menitikberatkan tarbiyyah ada juga yang tidak senang. Katanya saya malas dan tidak bertanggungjawab. Ah, Imam Syafie berpesan bahawa keredhaan semua manusia itu mustahil. Tetapi untuk redha dengan semua mereka ini sebaliknya pula.
Duhai hati, sabarlah…
Engkau diajar supaya redha!
“Kuliahkan tidak wajib. Memanglah biasa orang ponteng kuliah…,”bantah yang lain pula. Melenting kerana mentaliti selalu ‘tuang’ kuliah itu saya tembak kerana kepincangannya.
Teringat pada Anthony yang genius. Hari ini cikgu mengajar bab 4 tetapi dia datang ke dalam dewan kuliah dengan otak yang menghadam subjek sampai bab 8. Tidak hairanlah ilmu duniawi dikuasai oleh orang kafir. Sedangkan kita mempertahankan Muslim yang ponteng kuliah hanya kerana ia tidak wajib. Alangkah lucunya….
“Pendidikan seks di sekolah? Kita jangan terlampau berfikir jauh. Benda-benda begini tidak betul!”
Sekadar mengangguk laju ketika dihujani aduan pada satu majlis yang bukan diadakan untuk saya, tetapi digunakan pula untuk menujukan mesej tersirat kepada saya. Mengapa agaknya perkataan budak kecil yang tidak tahu apa-apa ini disibukkan sekalian orang?
Saya bukannya menteri. Saya bukannya orang besar. Saya bukannya wakil rakyat. Saya bukannya ada kuasa, apatah lagi harta. Sepatutnya kata-kata saya dianggap angin lalu, laksana seorang pengemis yang merepek di tepi jalan. Sepatutnya kata-kata saya dibiarkan pergi, kalaupun tidak bersetuju dengannya. Bukannya saya mampu mengubah apa-apa, saya cuma budak mentah!
Saya bukannya siapa-siapa, sehingga apa yang dikatakan begitu perlu diambil kira.
Hairan betul…
Semoga Allah mengajar saya untuk redha dengan berbagai-bagai tohmahan yang melintas di telinga. Saya kira itu harga yang perlu saya bayar atas anugerah Allah yang sedia dikurnia.
Kalau mukmin barangkali dia dengki. Entah apa saja yang didengkikan. Populariti? Kekayaan?
Percayalah, saya tidak memiliki itu semua.
Yang munafik itu sudah tentulah benci.
Apa jua fitnah yang lalu lintas di telinga, saya bersedia memaafkan. Andai benar nasihat yang diberikan, saya sedia dibetulkan.
Menjadi pemimpin, saya gagal.
Menjadi pengikut, pun saya gagal.
Tiba-tiba datang seorang teman yang kelihatan excited bertemu saya:
“Awak ni linear thinker la…,”
Saya senyum walaupun dahi berkerut. Siapa pula yang memberi saya anugerah sebegitu rupa?
Walaupun kemudian saya membuktikan dakwaan itu silap kerana saya datang dengan artikel yang tiba-tiba muncul pada bahagian kesimpulan. Ditembak percuma. Terpaksalah saya menerangkan dari bawah, secara linear pastinya.
Akhirnya kata-kata ini menjadikan bibir tersenyum senang!
“Jika orang mengkritikmu maka bererti engkau telah melakukan hal-hal yang patut untuk diperhatikan atau diingat. Dengan demikian, dirimu sebenarnya telah melebihi mereka, baik dalam hal ilmu, harta, pangkat, atau kemuliaan.”-Al-Qarni.
Saya memilih jalan ini, yang menjadikan saya kelihatan begini. Apa yang dilihat, tidak semestinya itu adalah hakikat.
Jangan cepat melatah. Keep on moving!












5 comments:
salam..
"...Apa yang dilihat, tidak semestinya itu adalah hakikat."
hmm, yang ni saya setuju
sepatutnya mereka bertanya di pihak kita juga.. bukannya main terjah je..
hehe
"...Apa yang dilihat, tidak semestinya itu adalah hakikat."
Itu sbb saya byk tanya ni.. tp mcm tak djwb scara direct.. :)
pening kah dengan ilmu ALLAH yang luas?
maksud ayat qur'an.Bagi NYA(ALLAH) kunci langit dan bumi!
lahu maqaliidussamawaat wal ardh..
artikel ini teralu menampakkan kesempitan minda penulis blog !
harap maklum
Sapa juga cakap sm Dr begitu..nanti km pukul..
Assalamu'alaikum dik,
Akak juga pernah juga di label linear thinker.
Semenjak menulis blog, baru akak semakin faham satu perkara, manusia memang suka me'label', dan melihat penulis mengikut 'preference' mereka sendiri, terkadang sehingga lupa memandang main point yang penulis mahu sampaikan. Dan itu mematangkan akak dalam mengambil ibrah dari penulisan orang lain.
Apapun adik, pesan seorang sahabat akak, 'dalam apapun yang kamu lakukan, kuatlah pegang pada syariat ALLAH, pasti DIA akan kuat menjaga kamu.'
Semoga adik kuat dan kita sama diberi kekuatan dalam 'berdakwah' melalui penulisan kita di blog.
Barakillah ya ukht mahbubah :)
Post a Comment