Feb 20, 2010 By: Nafsah Dulajis

Dan dirikanlah solat...


Solat lima waktu adalah antara kefardhuan dalam kalangan umat Muhammad SAW yang telah ditetapkan waktu-waktunya. Solat sudah wujud sekian lama semenjak zaman Nabi-Nabi yang terdahulu sedangkan fadhilatnya teramatlah besar. Ini selaras dengan firman Allah SWT dalam surah Toha ayat 14 yang menerangkan fungsi solat itu sendiri adalah untuk mengingati Allah SWT.

Sesungguhnya Aku ini adalah Allah, tidak ada Tuhan (yang hak) selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingat Aku."

(Toha;14)



Begitu juga antara ciri orang beriman adalah mereka yang khusyuk dalam solatnya; sedangkan perbuatan sebegitu memenuhi aspek hablun minAllah. Manakala mereka yang tetap memelihara solatnya akan memenuhi aspek hablun minannas, yang dengan cara sedemikian maka mereka dikenali sebagai orang beriman. Solat juga penting sebagai aspek penyatuan terutamanya solat berjemaah yang menjadi antara sumber perpaduan umat.

Begitu juga pada sudut rohaninya, bersolat mampu memberikan ketenangan kepada pelakunya, menjadi medan penyerahan diri dan pengaduan kepada Yang Maha Mendengar. Hakikatnya mengingati Allah itu memberi ketenangan kepada hati manusia; yang memberi kekuatan dalam menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah Allah. Melalui sudut pandang kesihatan secara ringkasnya pula, mereka yang bersolat lima waktu setiap hari telah melakukan senaman berbanding mereka yang tidak. Melalui cara ini tubuh badan dilatih melakukan pergerakan yang telah disyariatkan, sedangkan pelbagai hikmah tersembunyi disebaliknya. Terlalu banyak kelebihan yang terselit disebalik ibadah solat; dan saya sekadar berkongsi secara ringkas mengenainya.

Berikut diterangkan asal-usul bagaimana setiap solat mula dikerjakan.


SOLAT SUBUH

Manusia pertama yang mengerjakan solat Subuh ialah Nabi Adam A.S. iaitu ketika Baginda keluar dari syurga lalu diturunkan ke bumi. Perkara pertama yang dilihatnya ialah kegelapan dan Baginda berasa takut yang amat sangat. Apabila fajar Subuh telah keluar, Nabi Adam AS pun bersembahyang dua rakaat.

Rakaat pertama: Tanda bersyukur kerana Baginda terlepas dari kegelapan malam.

Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana siang telah menjelma.

SOLAT ZUHUR

Manusia pertama yang mengerjakan solat Zuhur ialah Nabi Ibrahim AS iaitu tatkala Allah SWT memerintahkan padanya agar menyembelih anaknya Nabi Ismail AS. Seruan itu datang pada waktu tergelincir matahari, lalu sujudlah Nabi Ibrahim AS sebanyak empat rakaat.

Rakaat pertama: Tanda bersyukur bagi penebusan.

Rakaar kedua: Tanda bersyukur kerana dibukakan dukacitanya dan anaknya.

Rakaat ketiga: Tanda bersyukur dan memohon keredhaan Allah SWT

Rakaat keempat: Tanda bersyukur kerana korbannya digantikan dengan tebusan kibas.


SOLAT ASAR

Manusia pertama yang mengerjakan solat Asar ialah Nabi Yunus AS tatkala Baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari perut ikan Nun. Ikan Nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai, sedang ketika itu telah masuk waktu Asar. Maka bersyukurlah Nabi Yunus lalu bersembahyang empat rakaat kerana Baginda telah diselamatkan oleh Allah SWT daripada 4 kegelapan iaitu:

Rakaat pertama: Kelam dengan kesalahan.

Rakaat kedua: Kelam dengan air laut

Rakaat ketiga: Kelam dengan malam

Rakaat keempat: Kelam dengan perut ikan Nun.

SOLAT MAGHRIB

Manusia pertama yang mengerjakan solat Maghrib ialah Nabi Isa AS iaitu ketika Baginda dikeluarkan Allah SWT dari kejahilan dan kebodohan kaumnya, sedang waktu itu telah terbenamnya matahari. Bersyukur Nabi Isa, lalu bersembahyang tiga rakaat kerana diselamatkan daripada kejahilan tersebut iaitu:

Rakaat pertama: Untuk menafikan keTuhanan selain daripada Allah SWT yang Maha Esa

Rakaat kedua: Untuk menafikan tuduhan dan juga tohmahan ke atas ibunya yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang.

Rakaat ketiga: Untuk meyakinkan kaumnya bahawa Tuhan itu hanya satu iaitu Allah SWT semata-mata, tiada dua atau tiganya.

SOLAT ISYAK

Manusia pertama yang mengerjakan solat Isyak ialah Nabi Musa AS. pada ketika itu; Nabi Musa telah tersesat mencari jalan keluar dari negeri Madyan, sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita. Allah SWT menghilangkan semua perasaan dukacitanya itu pada waktu Isyak yang akhir. Lalu sembahyanglah Nabi Musa empat rakaat sebagai tanda bersyukur.

Rakaat pertama; Tanda dukacita terhadap isterinya.

Rakaat kedua: Tanda dukacita terhadap saudaranya Nabi Harun

Rakaat ketiga: Tanda dukacita terhadap Firaun

Rakaat keempat: Tanda dukacita terhadap anak Firaun.