“Apa pendapat awak tentang perjuangan wanita di arena dakwah? Yang mana lebih perlu didahulukan, rumahtangga atau ummah?”
Ustazah saya tiba-tiba menyoalkan perkara yang sebegitu serius sedang kami berbual-bual di satu petang yang damai.
“Kedua-dua mesti seiringan.” Saya menjawab spontan.
“Kalau keluar anak-anak ditangani ‘amah’, adakah akan lahir generasi yang diharapkan?”
Wah, barangkali beliau menyoal yang demikian, kerana kesibukan hidup yang dihadapi walaupun cuma beranak satu.
“Zaman mencabar ini mengasak kita untuk pegang lebih daripada satu peranan.”
Saya mengusulkan. Jauh di sudut hati termakan juga saya dengan kata-kata beliau. Maksudnya, bersetuju.
“Tidak akan mampu seiring, pasti terabai salah satu.” Ustazah menjawab tenang. Sebagai wanita yang sudah berumahtangga, pastilah beliau lebih berpengalaman dan memiliki sudut pandang yang luas mengenai hal tersebut.
Ya, mengeluh juga saya akhirnya.
Sebenarnya saya teringat akan kisah tokoh unggul Umar Al-Khattab yang didatangi seorang Muslimah sebelum kematiannya. Berkata Muslimah itu:
“Tidak ada orang yang melakukan pada anak-anaknya sezalim yang kamu lakukan. Tidak seorang pun daripada anak lelaki kamu yang seramai 13 orang itu mempunyai apa-apa pun bagi menyara hidup masing-masing”
Lalu dijawab oleh Umar Al Khattab:
“Aku tidak melarang anak-anakku itu daripada apa yang mereka berhak mendapatnya. Aku memang enggan memberi kepada mereka apa yang sebenarnya hak orang lain. Kalau anak-anakku itu benar, maka Allah SWT pasti menjadi pelindung mereka sebagaimana firmanNya di dalam kitabNya“ Dan dia melindungi orang-orang yang soleh.” Tetapi kalau mereka itu orang-orang yang berbuat kesalahan maka mengapa patut aku pedulikannya?”
Begitulah ketegasan dan kebergantungan penuh kepada Allah SWT yang ditunjukkan oleh pemimpin agung ummah dalam perjuangannya.
Kalau hendak dibandingkan dengan kita pada hari ini, entah bagaimana pula perumpamaannya.
“Orang kata medan dakwah wanita yang bersuami adalah berbeza dari wanita bujang”
Ustazah merancakkan cerita, cukup untuk membuka minda saya pada petang itu.
“ Ooohhh. Medannya adalah rumahtangga? Begitu?” Saya menyoal semula. Mahukan kepastian.
“Heran jugak... kalau wanita bujang tu bukankah fitnahnya lebih banyak? Tak berani nak komen... Siapalah aku. Heheh.” Bergurau pula ustazah saya ini.
Jangan memandang enteng pada wanita yang menjadi suri rumah sepenuh masa. Kerana cabaran dan halangan membentuk insan di dalam rumahnya itu sendiri adalah satu ujian yang bukan calang-calang. Tidak salah kalau rumahtangga itu sendiri dipanggil medan perjuangan.
Perjuangan nafas panjang hanya diperolehi apabila jalannya di dasari kefahaman, keikhlasan dan kesabaran. Bukannya ikut-ikutan. Bukannya semangat yang tiada keruan. Naik turun bagai air pasang surut.
Begitulah cabarannya membentuk baiti jannati, bukan satu kejayaan yang mampu diraih dengan hanya bergoyang kaki.
“Tak semua orang ditakdirkan jadi qiadi. Ustazah cukup jadi jundi,” balasnya pula. Saya kagum pada dirinya. Tanggungjawab sebagai guru itu tidak menghalangnya untuk meneruskan risalah dakwah yang dibawanya. Walaupun kerjaya sebagai guru itu sibuknya tidak usah ceritalah.
Kata-kata beliau itu ada benarnya. Membuatkan saya serius memikirkan pula.
Aduh, Saleha…
DI MANA MEDANNYA?
Dari Ibnu Umar RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Wanita (isteri) adalah pemimpin atas penghuni rumah suaminya dan anaknya, dan dia bertanggungjawab terhadap mereka”
(HR Bukhari dan Muslim)
Tanggungjawab wanita pada rumahtangga dan isinya adalah sesuatu yang tetap, dan tanggungjawab pada pekerjaan dan medan dakwah adalah hasil asakan keadaan semasa yang menuntut perkara sedemikian.
Apakah wanita yang membesarkan anak-anak di rumah sepenuh masa itu lebih mulia daripada mereka yang berkerjaya?
Dan apakah wanita yang berjuang di arena dakwah itu lebih mulia daripada mereka yang sekadar membesarkan anak-anak di rumah?
Soalan-soalan yang benar-benar mengetuk minda saya untuk mencari penyelesaiannya.
Lain individu, maka berbeza juga sudut pandangnya.
Tidak adil kiranya disamaratakan antara mereka yang mampu menjadi suri rumah sepenuh masa dengan yang tidak dalam menentukan kelebihannya; kerana saya percaya modal insan yang pelbagai itu punyai kebolehan yang berbeza-beza juga.
Juga kata putus seperti semua wanita mesti menjadi suri rumah sepenuh masa untuk membela ummah; atau semua wanita mesti turun ke medan dakwah demi kemajuan ummah adalah perkataan yang menyempitkan peluang dan pilihan bagi kebanyakan individu.
Ada individu yang tidak tahan duduk diam di rumah; dan suka melakukan aktiviti luar.
Ada pula yang suka berbakti kepada isi rumah dengan cara menjadi suri rumah sepenuh masa.
Ada pula yang mampu menyeimbangkan kedua-duanya; demi mencari keredhaan Allah.
Sudah tentu, tanggungjawab penuh kaum Hawa pada suami, isi rumah dan anak-anak tidak dapat dinafikan.
Apa yang pasti, ganjaran di sisi Allah adalah begitu besar, lantaran keutamaan wanita yang bergelar ibu ini untuk ditaati selepas Allah dan RasulNya.
Membesarkan anak-anak itu perjuangan.
Bekerja, menambah kepakaran dan meningkatkan status kewangan itu juga perjuangan.
Sedang sejarah juga menyaksikan Muslimah terlibat di medan perang; bahkan gagah melindungi Rasulullah. Maka jangan dihadkan medan itu menjadi satu; sedang Islam memudahkan kita untuk berterusan berbuat kebajikan.
Semuanya tertakluk kepada kehendak, rezeki dan keperluan masing-masing.
Sama ada di rumah, di medan dakwah, kerjaya atau apa jua; peranan wanita perlu dimainkan di mana-mana.
Memilih medan masing-masing yang mungkin lebih daripada satu; dan berjuanglah bersungguh-sungguh menegakkan agama Allah.
CABARANNYA…
Muslimah memainkan peranan yang sangat penting dalam memajukan ummah. Sejarah menyaksikan tokoh-tokoh yang galak memperjuangkan agama Allah dari kalangan wanita bukan sedikit, dan kehadiran mereka nyata memperkuatkan barisan pejuang agama Allah.
Sebelum peranan dan medan itu diperhalusi, cabaran dan kekangan yang ada sepatutnya dilihat dari dekat; supaya ia dapat diatasi.
Wanita terlalu sinonim dengan perkataan ‘manja’, yang ada kalanya menjadikan mereka takut untuk mencuba perkara-perkara baru. Gelaran sebegitu juga terkadang menjadikan kaum wanita terlalu bergantung kepada individu lain dan takut mengambil risiko.
Sebenarnya dalam kelemahan dan kelembutan itu wanita masih boleh berdikari dan menjadi penggalak kepada kemajuan.
Sikap takut mengambil risiko dan mendepani cabaran itulah yang membantutkan kemajuan dan penciptaan sesuatu yang baru. Ini menjadi lebih teruk apabila kita tidak menguasai ilmu pengetahuan yang sewajarnya untuk memungkinkan perubahan.
Be proactive then…
Barangkali wanita di zaman mencabar ini perlu memegang berbagai title yang digalaskan ke bahunya.
Peranan wanita sebagai ibu, isteri, suri rumah, wanita berkerjaya, tokoh masyarakat, dan sebagainya itu menuntut kepada seribu satu persediaan dan kelengkapan.
Andai tidak mampu melaksanakan semua, jangan pula ditinggalkan semua.
Penting untuk wanita memperkukuhkan institusi keluarga sebagai asas kepada pengukuhan ummah. Ini memerlukan ruang lingkup thaqafah yang bukan sedikit, yang pastinya bukan sekadar diperolehi dalam bentuk teori semata, bahkan perlu dipelajari dalam bentuk amali. Dengan itu penghafalan dan pembacaan yang banyak itu sahaja tidak mencukupi, bahkan mesti dibuntuti oleh pengalaman.
Buang sikap terlalu ekslusif dan tidak berani menerjah dunia luar itu untuk mendapatkan pengalaman yang sewajarnya. Jangan terlalu memencilkan diri sehingga tertutupnya ruang-ruang untuk menyusup masuk ke dalam masyarakat yang wujud akibat pemikiran yang statik dan tidak kreatif itu.
Semoga kita memilih hala tuju hidup yang jelas; tidak meminggirkan agama ataupun kehidupan dan menyelarikan tuntutan dunia dan akhirat demi menjamin kelangsungan generasi Muslim yang taat lagi berbakti, insyaAllah.
Muslimah sejati, peneraju generasi!
0 comments:
Post a Comment