4.48 A.M.
Telah masuk waktu solat Fardhu Subuh bagi zon 7; Kota Kinabalu dan kawasan yang sama waktu dengannya.
Jam loceng berbunyi. Telefon bimbit berbunyi. Pintu diketuk.
Bangun! Solat Subuh.
Terjagalah mata-mata yang lelap sejak akhir malam semalam. Seandainya jumlah umat Islam yang ramai itu semuanya bangun untuk menunaikan solat Subuh, nescaya berdisiplinlah mereka dalam konteks memulakan hari seawal-awalnya. Bayangkan saja kalau solat Subuh itu ditunaikan secara berjemaah di masjid-masijd, apakah yang akan terjadi?
Bergegarlah lutut musuh-musuh Allah itu apabila jemaah solat Subuh itu menyamai ramainya jemaah solat Jumaat seperti kebiasaannya.
Realitinya…
Lebih ramai yang bergegas mematikan jam loceng dan mengejar waktu.
Pejabat.
Sekolah.
Tempat kerja.
Kalau kita takut lewat ke pejabat, seharusnya ketakutan itu lebih hebat lagi kerana lewat melapor diri di hadapan Raja segala Raja.
Begitu juga sekolah.
Tempat kerja.
Dan aktiviti harian yang lainnya.
Ataupun…
Tubuh dibasuh dengan wudhuk. Sejadah dijenguk. Bibir terkumat-kamit ke sana-sini di awal pagi.
Kemudiannya….
Selimutku…!
Oh, bersarang semula di ‘kubu pertahanan’.
Sedangkan urusan ummah menanti untuk dilaksanakan. Kalau sekali dua barangkali tidak mengapa. Kalau selalu-selalu saja?
Bayangkan saja hari yang dimulakan dengan sujud menyembah Tuhan yang padanya hati ditautkan, hidup dan mati diserahkan dan segala-galanya dipulangkan.
Oh, alangkah hebatnya hari ini!
Tidur yang awal, bangun yang awal dan zikir-zikir yang sebaiknya di awal pagi sebelum memulakan hari menjadikan kita kaum yang aktif dan efektif melalui hari. Yang paling awal bekerja untuk hidup yang sementara dan akhirat yang selamanya. Yang paling awal terjaga untuk meneruskan kesinambungan kerja semalam dan kecemerlangan hari esok.
Hebat kan Islam?
Itu baru solat Subuh.
Seandainya malam tersebut diisi pula dengan penyembahan kepada pencipta di penghujungnya, kesannya adalah lebih dahsyat.
Begitulah kisah mereka yang menakluk Palestin pada satu ketika dulu.
Solat malam itu senjata dan perisai kepada orang soleh. Adalah berdusta mereka yang katanya mencintai Allah tapi matanya lelap tidak larat bangun menunaikan solat malam.
Simply love is a verb, isn’t it?
Kalau di Malaysia, suasana pagi biasanya diisi dengan kesibukan manusia ke sini-sana menguruskan permulaan hari. Kalau di Mesir, hati terdetik dengan pertanyaan mengapa permulaan hari begitu sunyi dan lewat sekali kemuncaknya?
“Barangkali panjang zikirnya orang di bumi anbia,’ selamba hati berbisik.
Semoga kita tidak melalaikan solat Subuh walaupun sibuk ke sini-sana pada waktu-waktu yang lain. Begitu juga dengan solat sunat sebelum solat Subuh, amatlah utama dan digalakkan melakukannya. Solat Subuh berjemaah adalah sesuatu yang sangat membahagiakan, apabila kita bangun pagi dan menghadap Tuhan bersama insan-insan tersayang. Mereka itulah saudara seagama yang kita seakidah dengannya. Kelihatannya remeh, tetapi hakikatnya itulah sunnah yang turut diutamakan. Begitu juga dengan mereka yang aktif berdakwah di sini-sana terutamanya kaum Adam, solat Subuh berjemaah di masjid juga turut melambangkan kekuatan ceramah dan dakwah yang disampaikan.
Serulah diri sebelum menyeru insan lain pula.
Selamat melalui hari ini dengan jayanya insyaAllah.


1 comments:
Simple but sweet..
Bagus tul nasihat tu chaq..
Syukran2..
Post a Comment