Jun 17, 2010 By: Nafsah Dulajis

Bangun semula!


“Bolehkah ambil peperiksaan ni?”

Dia mengutarakan soalan, risau bunyinya. Kelihatan wajahnya menyembunyikan kesuraman semenjak dua ini, yang sudah saya teka puncanya.

Saya melontarkan pandangan ke luar kereta. Disentuh dia perlahan, cuba menyenangkan.

“Relaks saja,” pujuk saya pula meyakinkan. Walaupun saya lebih sepatutnya mengucapkan “InsyaAllah”, dan dia seharusnya menyuntik kata-kata semangat pula. Nyata keadaan menjadi sebaliknya.

Ah, wajah yang kian merimbunkan kerisauan itu mencarik-carik hati ini.


BELAJAR DAN BELAJAR

Belajar bukan semestinya dari buku. Belajar sangat dituntut menghadap guru. Maka belajar perlu kepada ujian yang mengesahkan tahap pengetahuan.

Sijil itulah buktinya. Ijazah itulah petandanya. Bahawa si pemilik itu diiktiraf pengetahuannya oleh umat manusia.

Tetapi kita sering lupa, bahawa pada alam itu wujud pengajaran bagi orang-orang yang berakal. Pada kejadian sehari-hari itu timbul peringatan bagi orang yang mempunyai penglihatan. Dan pada kisah-kisah yang sudah itu terdapat teladan bagi orang-orang yang mahu bertaqwa.

Senangkanlah hatimu, apabila bahan bacaanmu selalu mengingatkanmu kepada Allah. Ceriakanlah dirimu, apabila pengetahuanmu menjadikan akalmu selalu memikirkan akan Dia. Bersyukurlah selalu, andai amaran-amaran yang sampai ke telingamu memelihara tubuhmu daripada berlaku ingkar.

Itulah yang dimaksudkan dengan ilmu.

Sudahkah diperoleh ijazah pada yang itu?


Perasan CSI sekejap…^_^


TAHU YANG BERMANFAAT

Empty cartridge of long, rifled, non-automatic weapon, fired.”

Selesai ujian Praktikal untuk subjek Forensic And Toxicology pada hari itu, dengan menjawab ciri-ciri peluru, kecederaan manusia beserta tulang-belulang untuk dikenalpasti. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar.

Teringat kepada Chaim Weizmann, yang banyak tahunya pada bidang Sains itu. Kemudian Stephen Hawking pula, dengan Big Bang-nya. Walaupun dikategorikan dalam kumpulan pseudo-Sains kerana bersifat teori, cukuplah tahu yang banyak itu untuk menjadi asas kepada keyakinan wujudnya Allah; pencipta alam ini.

Sepatutnya kita bersyukur, kerana tanpa perlu membuat kiraan gila-gila seperti yang dilakukan Hawking, kita dididik bahawa alam ini dicipta oleh Allah. Melalui kepercayaan padaNya kita diberitakan akan keadaan alam yang kian mengembang. Permulaannya adalah letupan pada alam yang asalnya bercantum padu.

“Dan langit kami bangunkan dengan kekuasaan Kami, dan sesungguhnya Kami benar-benar meluaskannya”

(Az-Dzariyat; 47)

Terkadang tahu yang banyak itu digunakan untuk memusnahkan alam. Membunuh sesama manusia, mengahancurkan ciptaan Tuhan dengan sengaja. Atau tahu yang banyak itu bagai angin lalu, tidak mahu diterjemah menjadi amal atau dilaung-laungkan di hati agar menjadi pegangan.

Apalah gunanya pada tahu yang banyak itu, andai ia tidak memandu diri mencari keselamatan yang hakiki?

Tahu yang membawa manfaat, itulah yang dinamakan ilmu!


USAHA DAN TAWAKKAL

Keadaan yang memaksa saya untuk menduduki peperiksaan lebih daripada teman-teman yang lain demi merebut ratusan markah yang ditawarkan, mudah-mudahan tidak mematahkan semangat untuk terus belajar. Moga kita sama-sama berusaha dan menyerahkan urusan kepada Allah.

Masa untuk bangun semula!


2 comments:

Anonymous said...

alamak...jgn sya ko ikut mcm c luncai dgn labu2nya....YANG suatu ketika dulu....asyik memandang ke arah rakan-rakan nya, seraya berkata...."siapa lagi mahu pulang"...hehehe...i know u have the spirit...LET THE SPIRIT BE UR PARTNER TO FULFILL UR JOURNEY THEIR...AND LET THE PRAYS BE A BESTFRIEND IN YOUR LIFE THEIR.....hehehehe.... ( betulkah jgk bhsa ingris ku ni )....=)...fighting chaq!!!!!

edoraemon said...

go kak chaq!
go go go!