Tanah perkuburan.
Hospital.
Lapangan terbang.
Tiga tempat yang memiliki satu impak yang sama ke atas diri saya; iaitu perasaan sayu. Kali ini lapangan terbang dijejaki lagi, untuk kembara atas tuntutan Ilahi.
Apa jua perkara yang menimpa diri kita itu adalah atas keizinan Allah SWT. Baik atau buruk, suka atau duka, sakit atau sihat itu semuanya perencah dan asam garam kehidupan. Bagaimana respon kita saat kali pertama menerima musibah itu menunjukkan keimanan dan kesabaran kita di atas tiap ujianNya.
Bila diberi kesenangan, kita memuji-muji Allah. Bila diberi kesusahan, kita pohonkan pahala dan ampunan dariNya. Buruk dan baik yang datang silih berganti itu menguji keimanan kita.
Benarkah?
Dustakah?
Hakikatnya tidak ada yang buruk atau baik pada tiap-tiap kejadian itu, apabila iman yang menyuluhi pandangannya. Semuanya baik-baik belaka, kerana tunduk menerima ketentuan Tuhan.
Mudah-mudahan jiwa itu terus teguh dalam bersangka baik kepadaNya. Subur dalam ketenangan mencintaiNya. Mekar dalam kesabaran menerima keputusanNya. Dan larut dalam kesyukuran atas sekecil-kecil nikmatnya.
“Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan di dunia, tetapi amalan yang soleh itulah yang lebih kekal dan lebih baik di sisi Tuhan.”
Nikmat kesenangan dunia adalah pada anak-anak yang soleh yang menjadi penyejuk mata, serta ilmu bermanfaat yang mendekatkan pemiliknya kepada Allah. Sedangkan harta dunia ialah perhiasan dunia dalam bentuk materialnya, yang pada hari ini sibuk dikejar manusia seisi alam.
Beruntunglah orang yang diberikan harta kekayaan dan ia memiliki ilmu untuk menguruskan kekayaannya itu. Menjadilah ia orang yang layak untuk dicemburui oleh Mukmin yang lain, lantaran kurnia Allah ke atasnya.
Bagaimana pula dengan hamba yang tidak punya apa seperti kita?
Andainya seseorang itu miskin tidak berharta, sedekah masih boleh dihulur seluas-luasnya. Tebarlah senyuman, itulah sedekah. Kurniakanlah nasihat, itulah sedekah. Serulah kebaikan dan cegahlah kemungkaran, itulah sedekah.
Anda masih boleh menjadi kaya raya dan dermawan meski kelihatan tidak punya harta.
Kekayaan bukanlah pada kekayaan material semata-mata; tetapi pada kekayaan jiwa. Jiwa yang syukur dan penuh cinta kepada pencipta.
Bersyukur pada yang sedikit.
Bersabar pada tiap-tiap yang sakit.
Kita tidak mampu mencintai Allah, selagi kita belum mempercayaiNya. Kerana percaya itu barulah kita mampu memupuk cinta dan bukannya sebaliknya. Imanlah yang menetapkan rasa cinta itu; yang sulit diukur dengan ilmu.
Cinta itu suatu rasa yang halus; bisa dimiliki oleh sesiapa sahaja yang berkeinginan. Datang kerana rasa, dan menjadi cemerlang apabila diurus dengan ilmu. Itulah persediaan menuju hari kiamat; bekal ampuh yang mampu diusahakan bermodalkan hati sekeping cuma.
Semoga perjalanan singkat ini diwarnai dengan usia yang penuh barakah dan berbakti seadanya. Perjalanan mesti diteruskan, dan janji mesti dilunaskan. Moga baris-baris yang ringkas ini menjadi peneman dalam kekalutan.
“Empat perkara jika dilakukan boleh mendatangkan ketenangan jiwa iaitu apabila diuji ia bersabar, apabila diberi ia bersyukur, apabila bersalah ia memohon maaf dan apabila orang lain bersalah/marah, ia cepat memaafkan”


1 comments:
semoga perjalanan kali ini memberi mu kejayaan yang dicari - cari di bumi yang diberkati tuhan....bumi para anbia...ameeennn....good luck chaq...good luck my friend....hehehe....
Post a Comment