Jam di tangan sudah menunjukkan hampir pukul sembilan malam. Kaki melangkah perlahan menuruni anak tangga, satu-persatu. Usai majlis solat hajat dan bacaan Yasin di rumah junior sebentar tadi, saya mula beransur pulang. Mata mula terasa berat, maklum saja waktu-waktu begini biasanya diri sudah berteman lena.
“Izzayik?”
Seorang wanita pertengahan usia menegur, sedang kaki diteruskan menuruni tangga. Rumahnya di tingkat bawah menyebabkan diri terasa silu melangkah lewat-lewat malam begini; takut mengganggu.
“Saya beritahu kamu sesuatu, sebab kamu faham Bahasa Arab dengan baik. Sampaikan kepada kawan-kawan yang lain,” ujarnya serius. Saya menumpukan perhatian terhadap apa yang bakal diucapkannya.
“Esok selepas solat Jumaat akan ada demonstrasi, di seluruh negara,” tambahnya mengkhabarkan. Dada mula berombak kencang. Oh, baru saja bapa SMS petang tadi memberitahu perkara yang sama.
“Jadi kamu kena ihtiat (berjaga-jaga) kalau hendak keluar esok.”
Kepala diangguk. Junior-junior segera diberitahu, dan rakan-rakan lain juga. Beberapa perjalanan ke luar daerah terpaksa dibatalkan, semua akibat rusuhan yang bakal melanda.
Tidak mengapa. Better safe than sorry.
TIDAK PEDULISME
“Facebook kena blocked!”
“Twitter juga!”
Itulah masalah terbesar mahasiswa pasca rusuhan di Tunisia yang tempiasnya melanda ke negara jirannya, Mesir. Antara masalah paling besar, kalau tidak silap perkiraan saya.
Semuanya kerana dunia yang telah disempitkan ke alam maya yang tidak berpijak di bumi nyata. Lalai pada persekitaran yang menuntut perhatian dan tindakan.
“Kalau rasa-rasa malas hendak ambil tahu urusan umat Islam di Tunisia atau Palestin, tidak mengapa. Cukuplah ambil tahu urusan saudara-saudara seagama yang ada di sekeliling kamu.”
Saya mencadang ringkas, sengaja menaikkan sensitiviti adik-adik pada saudara yang akan dipersoalkan Allah di akhirat kelak akan haknya.
“Kita bersaudara kerana akidah. Bukan kerana Geografi. Umat Islam di Mesir ini, semua saudara kita!”
Terselak kecacatan semangat patriotisme yang dibaja subur sedari kecil itu. Alam mahasiswa, tentu saja fasa untuk membuka mata.
Dan tidak pedulisme itu pastilah meyakinkan saya bahawa datangnya ia daripada kecetekan faham agama yang memerintahkan seruan ke arah mengerjakan kebaikan juga menghindar kemaksiatan.
Andai Facebook dan Twitter itu sajalah harga yang dibayar untuk sesuatu yang digelar tanggungjawab mahasiwa, oh!
Alangkah murahnya nilainya.
FAJAR ISLAM
Adakah anda yakin bahawa Islam mampu memerintah?
Adakah anda yakin bahawa hari esok milik Islam?
Adakah anda yakin bahawa Islam itu penyelesai kepada semua masalah yang kita hadapi dewasa ini?
Keyakinan kita tidak sedikitpun membawa keuntungan kepada para pejuang agama Allah, atau Rasul-Nya; apatah lagi Allah SWT yang Maha Kaya.
Kerana para pejuang agamaNya akan terus-terusan bergadai jiwa, dan Dia pula sudah menjanjikan kemenangan buat mereka.
Begitu juga keraguan kita sedikitpun tidak mencacatkan keizzahan Islam di mata pejuangnya, Allah, juga RasulNya.
Kita yakin dan berjuang untuk risalah RasulNya, keuntungan dan kesenangan semua menjadi milik kita.
Kita culas dan lari dari medan memperjuangkan agamaNya, kecelakaan dan kemudaratan semua sekali tertimpa pada kita.
Tidak ada sesiapa yang rugi atau untung, melainkan diri kita sendiri.
Persoalannya sudahkan keyakinan kita itu dimanifestasikan dalam tindakan demi mendokong agama Allah yang suci ini?
Kalau masih belum, bangunlah teman.
Matahari sudah meninggi.
Doakan saudara seagama kita juga keadilan agar sentiasa beraja di bumi Allah. Perjalanan esok akan diteruskan juga, berteman tawakkal kepadaNya sahaja.
Menanti fajar esok dengan tenang, semoga semuanya dipermudahkan Allah.


1 comments:
manusia slalu melihat apa yg d dpn mta sja..tnpa mahu memandang jauh ke dpn...
Post a Comment