Apr 9, 2011 By: Nafsah Dulajis

Revolusi 11

“Nafsah pernah tak ada cita-cita nak jadi ustazah?”

Saya mengangkat muka, memandang si penanya.

“Tak pernah,” jawab saya sambil menggeleng kepala. Dahi berkerut. Seingat saya memang tidak pernah, walaupun cita-cita untuk menjadi seorang guru tidak pernah padam dari dasar hati. Atas sebab itu terkadang saya merasa geram dengan individu yang menjadikan profesion perguruan sebagai pilihan terakhir mereka atau sekadar pengisi periuk nasi.


Bersama Puan Pengetua SMK Elopura Bestari

Sesi briefing diteruskan. Peranan Cikgu Mahazi sebagai guru kaunseling yang bertanggungjawab melicinkan lagi sesi ceramah motivasi buat pelajar Science Stream SMK Elopura Bestari memang tidak dapat saya lupakan. Tepat pada hari itu juga isterinya dimasukkan ke hospital kerana sakit bersalin. Jelas terpampang kerisauan di wajahnya meski yang dinanti adalah zuriat kedua. Namun tugasnya diteruskan dengan penuh dedikasi.

Sepanjang perjalanan bibir tidak lekang daripada bercerita dengannya. Istilah-istilah personalti diri yang kebiasaannya diperhalusi oleh ahli kaunseling turut diutarakan beliau. Mujur saya tidak lemas dalam perbincangan, kerana pernah mempelajari istilah sedemikian juga. Daripada isu serban dan janggut, saya menarik perbincangan kepada revolusi Mesir yang hangat ketika itu.

“Pengetua mintak ceramah disampaikan sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris,” tambah Cikgu Mahazi sambil penghawa dingin meratah kehangatan ruang di dalam bilik kaunseling tersebut.

Saya cuma menguntum senyum. Begini rupanya warna-warni di medan dakwah.


Adik-adik SM (S) As-Salam

Berkongsi ilmu dengan pelajar sekolah menengah amat berbeza cabarannya. Andai selama ini mahasiswa yang menjadi teman berbicara, kiranya kali ini aras perbincangan harus direndahkan sedikit bersama pelajar sekolah menengah. Menjejak kaki kemudiannya di sekolah swasta SM As-Salam membuka diari lain dalam usaha berkongsi pengalam hidup bekal ke sana nanti.

Undangan memberikan ceramah bersempena Maulidur Rasul dipenuhi, meski pada awalnya beberapa kesukaran menghalangi namun berjaya dilepasi. Undangan daripada mantan Presiden Persatuan Siswazah Sabah sesi lepas dilaksanakan seupaya mungkin. Pelajar sekolah agama dan sekolah harian rupanya harus didekati dengan cara yang berbeza. Lenggok bahasa dan isi yang disampaikan juga nyata tidak sama.

Moga pengalaman sekelumit ini berjaya mendidik diri agar tidak gentar untuk terus menabur bakti.

SMK Sandakan, the most memorable one!

Persediaan mental dan fizikal sebelum menghadapi peperiksaan turut dikongsi bersama calon-calon peperiksaan SPM di SMK Sandakan. Ketika menyampaikan mesej yang sarat dengan nilai motivasi dan agama, terbit persoalan dalam diri akan respon pendengar yang bukan beragama Islam. Alhamdulillah, apabila sesi motivasi turut hangat sambutannya meski pelajar terbabit punyai pegangan yang berbeza. Yang nyatanya apabila ditanyakan punca kecemerlangan diri ketika menghadapi SPM yang lalu, semuanya dikongsi menjadi satu resepi yang mampu dilaksanakan oleh insan biasa juga.

Terima kasih kepada SMK Sandakan atas persediaan rapi dan secubit kenangan yang amat mencuit hati. Sehingga kini masih tersenyum simpul mengenang kenangan yang terpahat meski ceramah hanya berlangsung selama sehari.

Preparing the text, mind-mapping for sure.

Dan akhirnya, undangan SMK Merpati untuk tujuan yang sama pula mengambil alih. Syukur kerana hari-hari cuti saya sebelum menunggu dihantar semula ke Mesir untuk menyambung pengajian terisi dengan aktiviti berfaedah. Sekadar berkongsi pengalaman dan rahsia kejayaan bersama para remaja yang bercita-cita tinggi untuk melanjutkan pelajaran, saya kira kepulangan ke tanah air pastilah membuahkan hikmahnya, meski ia tidak dirancang sempurna.

Kem Remaja Islam di SMK Batu Sapi menjuarai kenangan balik bercuti yang lepas, apabila ia diadakan di sekolah sendiri. Berkesempatan untuk menjadi fasilitator bagi kem selama 3 hari 2 malam ini memberi peluang untuk saya menjadi pengisi slot Palestin yang agak kontoversi berbanding checkpoint yang lain.

KRIS bersama PSS

“Erm…malam nanti jadi ahli panel untuk forum. Boleh?”

Penganjur menyuarakan permintaan. Saya menginterpretasinya sebagai arahan, lantaran melihat ‘kegawatan’ yang timbul saat itu. Tidak ramai golongan mahasiswa yang bersedia menawarkan diri menjadi fasilitator. Golongan siswa hilang entah ke mana, yang kelihatan kebanyakannya siswi jua mewarnai medan.

“Pelajar Cemerlang.”

Tajuk forum yang diperolehi di awal pagi. Soalan-soalannya saya hadam di situ juga, sedang forum bakal diadakan di malam hari. Dengan berbekal Al-Quran sebuku cuma, itulah saja rujukan terpantas yang saya ada. Alhamdulillah kemudahan diberikan Allah SWT, untuk berbicara di samping seorang pegawai bank yang berjaya dan seorang lagi lepasan STPM yang tidak kurang hebatnya sebagai teman panel malam itu.

Soalan-soalan yang dilontarkan audiens jangan pernah dipandang enteng. Besar maksudnya seorang mahasiswa lepasan luar negara buat mereka. Mujurlah bekalan sekelumit cuma dari bumi unta masih mampu dikongsikan, semoga ia bermanfaat di sepanjang perjalanan!

P/S: InsyaAllah, ada masa pengalaman elective posting di hospital di Malaysia pula bakal menyusul.