Melihat kelibat botol kosong yang semakin bertimbun di dalam bilik, saya memutuskan untuk menyerahkan botol-botol tersebut kepada ‘pusat kitar semula’. Di sini jelasnya tidak ada perkara seumpama tong sampah kitar semula yang mudah dikenali melalui warnanya seperti di tanah air, cuma para penjual sayur sering meminta botol air mineral kosong daripada kami peminum air mineral tegar.
Saya kira barangkali beliau mendapat untung hasil daripada botol-botol kosong itu dengan menjualnya. Dan sememangnya tidak menjadi kerugian buat kami untuk menyerahkan saja botol-botol tersebut, jauh lebih baik daripada dimakan api dibaham longgokan sampah lantas mencemarkan udara.
Sambil tangan kanan memegang botol-botol yang sedia dimuatkan ke dalam plastik sampah yang agak besar, senyum diukir buat si penjual sayur yang berada berhampiran rumah. Saya sebenarnya berniat untuk menyerahkan botol tersebut kepada penjual sayur yang lain, yang berada jauh sedikit dari rumah. Semuanya kerana beliau pernah meminta dengan saya botol plastik kosong untuk dikumpul sebelum ini.
“Ta’ali…syukran.” Sapa makcik penjual sayur pertama, yang saya tidak terdetik pun untuk memberikan botol itu kepadanya.
Saya terpempan, untuk seketika. Statik beberapa saat, sebelum botol-botol dihulurkan penuh kekeliruan, sedang senyum masih cuba diusahakan.
“Kenapa, kamu nak bagi botol ni dengan makcik dekat depan ke?” begitu lebih kurang tanyanya. Botol saling bertukar tangan.
Tentu saja soalan itu ditanyakannya sebaik melihat air muka saya yang berubah. Keliru. Blur. Sedang arah perjalanan saya asalnya juga bukan menuju ke arah beliau.
Saya mengangguk sambil senyum mengiyakan.
“Oh…tak pa. Bagi makcik dekat depan, ingatkan nak bagi saya tadi,” balasnya memulangkan botol-botol.
Saya sebenarnya tidaklah begitu kisah tentang kepada siapa botol itu akan diberi memandangkan proses kitar semula itu juga yang menjadi tujuan utama. Tetapi sebaik makcik itu mengembalikan botol tersebut padahal tidak menjadi hal seandainya dia mengambilnya sahaja (sebab saya tidak janji pun untuk bagi dengan makcik lagi satu), saya seolah terpana. Seketika.
Integriti!
Itulah perkataan yang terpacul di minda.
Kejujuran yang dipamerkan oleh makcik penjual sayur itu benar-benar menampar sisi hati yang penat berfikir. Mengapa barangkali mereka yang mengaku berpendidikan dan belajar tinggi akhirnya larut dalam rasuah juga jenayah kolar putih?
Kendati sekadar penjual sayur, tetap dengan kejujuran dan tolak ansur yang tinggi.
Sungguh yang berbaki di hati cuma rasa cemburu, pada ketinggian budi yang sudah pasti tidak mampu dijual beli.
Untuk apa berjawatan tinggi andai lusuh budi pekerti? Saya akhirnya membentak sendiri.
Botol air mineral untuk recycle…
Tika duduk leka menunggu dewan kuliah subjek Pediatrik dibuka pada awal pagi, seorang lelaki pertengahan usia kelihatan tekun melakukan kerja-kerja pembersihan lantai.Sambil bibirnya mengalunkan surah Al-Baqarah ayat demi ayat. Dengan kuat!
Saya meneruskan memerhati. Ayat yang terpacul di bibirnya semakin larut di hati.
Meski sekadar tukang cuci, dia mengingati Allah di saat tangannya mengenggam dunia.
Dan hati?
Sungguh, rasa cemburu jua yang berbaki.
“Lelaki yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada MENYEBUT SERTA MENGINGATI ALLAH dan mendirikan solat dan membayar zakat, mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya hati dan pandangan menjadi gusar.”
(An-Nur:37)
Bukan sekali saya makan hati. Kali lainnya ketika seorang pekerja di sebuah pasaraya sibuk memunggah barang sambil lidah mengikuti surah An-Nisa’ yang dipasang bergema di seluruh kedai.
Kesekian kalinya…
Penjual ‘crepe’ yang menahan keringat sambil lipatan tangan meneruskan tugasan dan bibir basah dengan ayat Al-Quran.
Dalam kesibukan dan keserabutan dunia ini mereka meringankan lisan untuk mengingati Allah, tentu saja menifestasi dari hati yang mengagungkan dan membesarkanNya.
“Tanda cintakan Allah SWT ialah mengingati Allah SWT (zikrullah) dan tanda Allah SWT murka kepada hamba ialah dia tidak suka mengingati Allah”
(HR Baihaqi)
Ya Tuhan, sungguh aku merasa hina!
Islam means PEACE. ^_^
Alasan untuk saya merasa cemburu amatlah mudah. Kerjaya sebagai seorang doktor bakal diliputi kesibukan yang tidak terhingga, maka di situ cabaran untuk mengingati Allah di segenap waktu meski tidak menyebut nyata dengan lidah barangkali terganggu. Sedang saya mengira bahawa pekerjaan mereka yang disebutkan sebelum ini agak ringan juga (pada perkiraan saya, sekurang-kurangnya tidak perlu memerah minda) maka dengan itu mereka berseronok mengingati Allah sambil melakukan kerja-kerja seharian.
Bahagia!
Saya membandingkan pula mereka dengan segolongan manusia lain yang berkerjaya, tetapi solatnya tidak dijaga. Duit berkepuk-kepuk di poket, tetapi iman kosong dari menghuni dada.
Kalau saja Tuhan memberi peluang untuk saya memilih satu antara dua, pastilah saya rela menjadi tukang sapu masjid yang tidak dikenali di kalangan manusia atau mewah berada, namun bakal menghuni syurga lantaran mahalnya zikrullah!
Tika rasa cemburu itu membuak-buak di dada, akhirnya saya mengubatinya dengan mensyukuri ruang dan peluang yang sedia diberikan Allah.
Syukur alhamdulillah!
Chest department; main entrance. Inspirasi sanubari!
Sudah pasti, kerjaya sebagai doktor yang bakal ditelusi pada masa hadapan ini adalah pada mengorbankan masa dan tenaga untuk menyelamatkan nyawa manusia.
Andai Muslim yang diubati, sihat jasad maka beribadahlah ia.
Andai kufur yang ditangani, cergas badan lantas bekerjalah ia.
“Dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.”
(Al-Maidah:32)
Bukankah kelebihan yang amat besar ini adalah kurnia Allah, sebagai jalan pintas untuk kita memperolehi pahala dan keistimewaan di sisiNya?
Makcik penjual sayur, pakcik pencuci lantai dan penjual ‘crepe’, saya sudah tidak cemburu lagi!
4 comments:
key chain tu pernah nampak di Qatar....
heeheh...
Alamak, kantoi.
Keychain utk hp, tapau masa di Qatarlah hari tu =)
salam chak..salam ziarah. nak nangis pulak bila baca entry ni. sungguh menyentuh hati. :) benar, mesir banyak mentarbiyah diri. apatah lagi kalian dn shbt2 yg sudah bertahun disini. pastinya sudah banyak mengutip mutiara2 hikmah di sebalik debu2 kinanah :j jzzk ... truskan berkongsi sepenuh hati. smuanya mnjadi ibadah insyaallah. be a great competent muslimah Dr insyaallah :) -k.mus.
syukran atas ziarah kak Mus ke blog yg x seberapa pun ni. moga bermanfaat apa-apa yg dikongsi.
Smg kita sama2 menyiapkan diri utk berbakti. insyaAllah...
Post a Comment