30 Ogos 2011, ulangtahun ke 5 menuntut ilmu di bumi yang menjadi saksi tika Firaun menentang kebenaran yang dibawa oleh Nabi Musa. Masa yang berlalu seakan tidak terasa, seolah baru semalam saya bertatih bertutur dalam bahasa Arab dan memerhati ragam manusia juga mengenal isi kulit dunia.
Tetapi hari ini cukup berbeza.
Pada persepsi terhadap dunia dan kesibukan insan di atasnya.
Pada pilihan di kiri kanan dan timbangan betul salahnya.
Pada pandangan akan masa mendatang yang belum pasti hala tujunya.
Pada serba-serbi sisi kehidupan yang perlu akan percaturan bijaksana juga petunjuk dariNya.
Tempoh 5 tahun ini banyak mendidik dan mengubah cara berfikir, bertindak dan juga persepsi terhadap sisi hidup yang sebelum ini tidak saya terokai.
Andai semalam saya memilih ungu sebagai warna pilihan, hari ini barangkali hijau pula yang merajai hati. Mungkin dahulu saya gentar melalui gelap malam kerana suramnya, hari ini saya melihat siang yang terik juga tidak kurang cabarannya.
Anak sungai lagikan berubah, inikan pula hatinya orang…
Err…totally not related
Aidilfitri tanpa biskut raya seperti sebelumnya dan tanpa persediaan yang sepatutnya bukanlah satu persoalan yang besar. Sudah sepatutnya saya merasa biasa sahaja lantaran lebaran kali ini adalah kali kelima saya menyambutnya di perantauan meski telah tiga kali bercuti di tanah air sepanjang tempoh ini. Tetapi kali ini rentaknya nyata berbeza; apabila lebaran disaluti peperiksaan!
Saya berusaha untuk terus mempositifkan keadaan, dengan mengambil contoh teladan beberapa ahli keluarga kakitangan hospital yang turut bergelut untuk mendapatkan cuti tika perayaan tiba. Beberapa tahun yang datang pastilah nasib saya lebih kurang sama juga, bezanya saya mungkin terlepas daripada ‘menghambur’ duit raya kepada kaum kerabat yang agak ramai juga seandainya terpaksa bekerja di musim perayaan. ^_^
Salam Aidilfitri buat teman-teman yang sudi bertandang ke teratak khairaummah yang semakin ‘lemau’ ini. Maaf atas segala kekurangan sepanjang tempoh ini, dan saya kira tika tahun-tahun HO menjengah dan kesibukan kian beraja, barangkali blog ini akan menjadi semakin sunyi.
Berita baiknya adalah tahun hadapan merupakan tahun terakhir pengajian (insyaAllah) dan kerjaya sebagai seorang doktor bakal bermula. Semoga Allah terus mengurniakan kekuatan untuk kita agar tetap memartabatkan Islam pada apa jua penjuru kehidupan yang kita ceburi. Sungguh tidak ada daya melakukan ketaatan apatah lagi menjauhi kemaksiatan melainkan dengan taufiq Allah SWT jua…
Currently reading: Islam And Love by Abdullah Nasih Ulwan
Musim peperiksaan lazim saya isi dengan ‘menelan’ non-Medical books yang sepanjang tempoh perkuliahan ini sekadar menghiasi rak buku tanpa sempatpun disentuh. Hakikatnya rak buku 3 itngkat itu didominasi oleh bahan bacaan selain daripada subjek Perubatan, memandangkan saya cenderung pada medan bacaan yang luas dan tidak terlalu tertumpu pada satu aspek sahaja. Pening melihat barisan buku yang tersadai di rak buku, tidak termasuk yang masih terbaring di dalam kotak menanti masa untuk dibaca. Pun begitu saya tetap menyimpan tekad untuk memborong bahan bacaan pada Cairo International Book Fair (CIBF-tahun ni melepas disebabkan oleh Revolusi Mesir) musim sejuk akan datang, sebanyak mungkin!
Menyedari akan keperluan kepada bahan bacaan yang pelbagai juga berkualiti untuk menghasilkan tulisan yang bermanfaat kepada orang lain, lantas saya mengingatkan diri agar memastikan hasil tulisan yang diusahakan memberi impak positif kepada yang membaca; sama ada pada aspek duniawi mahupun ukhrawinya. Kita bebas menukilkan apa jua yang dikehendaki, baik semata-mata untuk menghiburkan pembaca atau memberi tahu itu dan ini untuk dikongsikan bersama. Tetapi seandainya kita menginginkan kebaikan buat para pembaca, pastilah kita suka untuk menunjukkan jalan kebaikan yang memberi manfaat kepadanya untuk diamalkan, dengan izin Allah.
Bukankah kita diperintahkan untuk memberi peringatan? Sungguh tiada yang mengambil pengajaran melainkan hamba yang berakal fikiran.
Begitu teladan yang ditunjukkan melalui buku-buku tulisan ‘ulama ‘amilin yang pernah bertugas sebagai profesor di Universiti King Abdul ‘Aziz, Jeddah; Arab Saudi. Beliau yang saya maksudkan adalah Dr. Abdullah Nasih ‘Ulwan, ‘ulama yang nasab keturunannya sampai kepada Rasulullah SAW. Tiada perkataan lain yang lebih layak diberikan pada tulisan berpandukan wahyu disusuli pemerhatian yang tajam juga pengalaman yang mendidik selain daripada HIKMAH. Itulah kurnia yang diberikan Allah kepada hamba pilihanNya, alhamdulillah.
The first twenty except Bulat. We are one step closer guys!
Buat sahabat seperjuangan yang bakal bertempur di medan peperiksaan akhir bermula Oktober ini, bersama berUSAHA untuk HASIL yang terbaik, insyaAllah. Kita sudah selangkah menghampiri kerjaya sebagai doktor perubatan, pastilah liku-liku dan rintangan yang menanti di hadapan penuh warna-warni juga cabaran.
Mohon doa kalian agar mengiringi kami di sepanjang perjalanan…

0 comments:
Post a Comment