Oct 1, 2011 By: Nafsah Dulajis

Dear Tibbians...(Edisi Imtihan)



“Nak masuk boleh?”

Saya yang dari tadi berbaring mengiring ke kanan dan kiri berusaha untuk melelapkan mata terpaksa meluaskan bukaan mata. Sang teman di depan pintu bilik dipandang sekilas. Bersama hand out subjek Psychiatry di tangannya, pastilah masih berusaha menelaah untuk peperiksaan pada esok hari; begitu saya menduga.

“Herm...” pendek jawapan yang bermaksud ‘ya’ saya hadiahkan. Dia segera mengambil tempat di sisi saya, mula membaca helaian demi helaian nota subjek Psychiatry, subjek yang sangat menarik saya kira.

Terjemahan Al-Quran keluaran Yayasan Restu yang berada di atas meja tepi katil saya capai perlahan. Mata liar mencari ayat yang sudah sekian kali bermain di minda, lantas ingin dikongsi bersama.

Jumpa!

“Baca ni. Baca kuat-kuat sikit,” pinta saya buatnya. Al-Quran tadi bertukar tangan, sengaja saya ‘mengganggu’ tumpuannya yang ketika itu sudah membaca sehingga tajuk ‘Mood Disorder’.

“Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah tertulis di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah”

(Al-Hadid:22)

Dia menarik nafas seketika, kemudian menyambung bacaan.

“(Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula terlalu gembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. (Ingatlah) Allah tidak suka kepada setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.”

(Al-Hadid:23)

Selesai membaca, dia memandang tepat ke arah saya, meminta penjelasan seperti selalunya. Saya senyum sahaja, masih berusaha untuk tidur.

“Dapat tak?” sengaja saya menyoal kalau-kalau dia punya pendapat untuk dikongsikan.

Kening berkerut, masih mohon penjelasan.

“Itulah yang dimaksudkan dengan Euthymic mood...”saya menyuarakan perlahan, sambil tangan menunjuk ke arah nota berkaitan Mood Disorder di tangan.

‘Mood’ manusia yang seharusnya dalam keadaan Euthymic; tidak terlalu sedih (dysthmia) dan tidak terlalu gembira (euphoria) adalah dikira normal secara Psikologinya. Terlalu sedih atau terlalu gembira nantinya akan menghasilkan penyakit berkaitan ketidakseimbangan ‘mood’, seperti Major Depressive Disorder (MDD) dan Bipolar (I) Disorder.

Dia mengangguk.

“Eh iyalah!” Excited dia mengiakan, usai membuat sedikit penelitian.

“Agak-agak jawab exam macam tu dapat markah tak?” pertanyaan sebegitu yang sebenarnya saya sendiri sudah punya jawapannya sengaja diutarakan.

Diam membungkam.

Saya berpaling sambil tersenyum panjang, membiar dia meneruskan pembacaan.

Muslim Doctors: In A League Of Our Own

Masih kemas di ingatan saya ketika sesi kuliah subjek Psychiatry yang lepas; barangkali kerana minat dan perhatian yang saya berikan lebih kepada subjek ini dan kepentingan yang ada padanya juga. Ironinya ilmu Psychiatry yang menjurus kepada unsur emosi/minda manusia sedang sememangnya Islam tidak pernah terlepas pandang akan aspek ini sering dipandang enteng oleh masyarakat amnya. Ternyata pendedahan akan ilmu Psychiatry amat cetek sehingga memungkinkan berbagai-bagai telahan (tidak berdasarkan ilmu pastinya) yang karut-marut terhadap para pesakit Psychiatric kerap kali mendominasi masyarakat.

“Phobia is persistent, irrational, exaggerated, pathological fear of specific stimulus or situation, results in a desire to avoid the feared stimulus”

Tekun kami mendengar penerangan lecturer muda yang bersemangat mendidik pagi itu. Bersyukur kerana dapat menuntut ilmu di bumi Mesir yang terkenal dengan universiti tertua dunia iaitu Al-Azhar ini kerana para pengajar seringkali meyelitkan ayat Al-Quran malahan hadis Nabi SAW dalam sesi pengajaran untuk dikaitkan. Alhamdulillah...

“Habis tu kalau takut pada neraka dan berusaha menjauhkan diri daripadanya dikira Pathological (berpenyakit) jugak ke?”

Saya menyoal mencari pencerahan, sedang Ika yang duduk di sebelah direnung serius.

“Takpe, nanti ko cari istilah Phobia untuk itu ye,” dia menjawab berseloroh. Kembali menumpukan perhatian pada lecturer.

Senyum.

Terang lagi bersuluh akan saranan Allah SWT agar takut kepada api neraka (ittaqunnar-rujuk Al-Baqarah 24 dan Ali-Imran 131) dan menjauhkan diri dari perbuatan yang menyebabkan kita terhumban ke dalamnya adalah sesuatu yang MESTI.

Seandainya claustrophobia, agoraphobia, aquaphobia dan selainnya itu dikira berpenyakit, maka penyakit yang lebih dahsyat lagi saya kira pasti adalah Islamophobia!

Realitinya apabila agama dipisahkan daripada urusan-urusan kehidupan termasuklah bidang pendidikan, graduan yang dihasilkan lebih mementingkan apa yang dicetak di atas sijil mereka semata. Tidak sedikit ilmuwan Islam yang mengemukakan kritikan terhadap sistem pendidikan yang berkembang-biak pada hari ini; yang menurut mereka hanya menghasilkan ‘robot’ cetakan universiti.

Keadaan bertambah parah apabila bidang-bidang ilmu yang kritikal terutamanya bidang Sains didominasi oleh saintis Barat dan mereka mendahului pada serba-serbinya. Hasilnya kita sekadar mencedok hasil kajian mereka, satu demi satu dan memakai pendapat mereka kerana menurut arus dunia.

Berhenti!

Kesilapan besar apabila kita sebagai penuntut ilmu yang beragama Islam (saya lebih menumpukan pelajar Perubatan dalam konteks ini) tidak berusaha menapis pendapat dan penemuan tersebut untuk diselaraskan dengan anjuran agama. Oh, bukankah kita tunduk juga pada arus sekular itu akhirnya?

Sedangkan bidang perubatan moden yang berkiblatkan Barat ini amat ketandusan pada cahaya iman dalam sesi pengajarannya. Atas sebab itu sebagai pelajar perubatan Muslim kitalah yang bertanggungjawab menjadikan Sains Perubatan itu sebagai antara sebab untuk mengukuhkan iman.

Islamisasi ilmu!

Iman Bukan Genetik!

Embryologically penciptaan manusia yang sudah seringkali berlegar di ruang minda sejak sekolah menengah itu tercapai hasil daripada penyatuan antara sperma dan ovum.

Mampukah Sains menerangkan kejadian Adam AS, Hawa AS dan Isa AS yang dilahirkan tidak berbapa?

Mengapa agaknya sedari kecil menuntut ilmu penekanan kurang diberikan pada perkara tersebut sedangkan hal ini amat dititikberatkan melalui firman Allah?

Secularism.

Singkat dan padat jawapannya.

Hakikatnya tidak ada yang mustahil bagi Allah SWT yang Maha Menciptakan, sehinggalah apa yang dikhabarkan wahyu itu melanggari peraturan normal akal fikiran. Maka di sinilah titik percambahan iman lebih patut ditekankan.

Saya sebenarnya kagum pada buku-buku hasil tulisan Dr. Danial Zainal Abidin; antaranya “Quran Saintifik” dan “Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden”. Doktor keluaran Universiti Iskandariah Mesir ini amat berusaha pada bidang I’jazul ‘Ilmi meskipun masih terdapat banyak kritikan pada tulisan beliau (ruang untuk pembaikpulihan sentiasa ada saya kira). Usaha sebegini seharusnya membuka mata kita sebagai bakal Doktor Muslim untuk meneruskan kegemilangan ilmu Islam sekaligus membezakan kita dengan pengamal perubatan selainnya.

Tetapi apabila kita sekadar menurut pada pelajaran yang disuapkan tanpa mahu menilai hitam putihnya, nyata tidak ada bezanya kita dengan doktor beragama lain yang juga punya ilmu dunia yang sama, malahan mungkin lebih hebat lagi!

Oleh itu siapakah yang diharapkan untuk meneruskan kesinambungan tradisi ilmuwan Islam pada zaman silam seandainya kita juga memilih untuk menjadi pak turut sahaja?

Percuss dada, auscultatelah minda!

2 comments:

iiman87 said...

assalamualaikum...
salam dari kejauhan..
suka membaca nukilan saudara..sgt bermanfaat buat yg mmbaca..kaedah pnyampaian agak simple dan mudah utk selami..

dari bawah bayu,

iiman87@yahoo.com.my

Nafsah Dulajis said...

waalaikumussalam wbt.
alhamdulillah, syukran kathiran.
saya saudarI, bukan saudarA ;)
Iya, kita bernaung di negeri bawah bayu yang sama. di mana bumi dipijak, di situ Islam dijunjung insyaAllah...