Oct 27, 2011 By: Nafsah Dulajis

Hanya Untukmu...



Seperti tahun-tahun sebelumnya, pilihanraya bakal menyapa kita sebagai ahli Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir dan kemudiannya akan disusuli dengan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) pula. Lumrah, bila tanggungjawab memilih dipundakkan ke bahu masing-masing; pastilah kita dikehendaki menjalankannya dengan penuh kesedaran dan tanggungjawab.

Tahun ini tidak kurang hebatnya seperti tahun-tahun sebelumnya, ketika pencalonan sudah dikemukakan dan manifesto sedia dicanangkan; calon-calon yang bertanding mula menampakkan taring masing-masing.

Saya lebihnya di sini dan situ, dan berazam untuk melaksanakan ini dan itu”.

Bukan sekadar janji, pastilah tekad dan usaha mereka ini sedari awal menjadi sumbu untuk menjalankan amanah di masa hadapan, andai dipilih menjadi pemimpin.

Sebagai salah seorang ahli saya juga tidak terlepas daripada tanggungjawab memilih, dan tentunya saya berhak mengundi calon yang saya percayai. Untuk tahun ini, calon Yang Di Pertua (YDP) pilihan saya adalah saudara Lasafarudi Lahadi; penuntut tahun 3 jurusan Ulum Islamiah Universiti Al-Azhar. Meskipun usia beliau lebih muda berbanding saya sendiri, saya kira ilmu dan pengetahun yang sedia dicedok beliau selama 3 tahun di ardhul kinanah memadai untuk dijadikan bekalan sebagai teraju utama BKPSM.

Kenapa?

Bukan untuk melebih-lebihkan apatah lagi mengagungkan beliau berbanding calon-calon lainnya, tetapi biarlah saya senaraikan beberapa kelebihan beliau sebagai sebab-sebab utama saya memilihnya.



Beliau merupakan pelajar terbaik Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi seluruh negeri Sabah dengan mendapat 10 Mumtaz pada tahun 2007. Memori saya cuma menyimpan satu nama lain yang juga memegang gelaran yang sama bahkan menjadi pelajar terbaik Sijil Tinggi Agama (STA) seluruh Malaysia (tahun bila saya kurang periksa) iaitu Ust. Hafiz Ahmid dengan 13 Mumtaz; juga pernah memegang jawatan sebagai TYDP 1 BKPSM sesi 2005/06.

Latar belakang akademik yang kukuh sebegini diharapkan dapat menjadi nilai tambah bagi beliau dalam memimpin BKPSM pada masa akan datang. Bonus buat calon pilihan saya ini juga apabila beliau pernah menerajui Biro Akademik Dan Hal Ehwal Pelajar sesi 2009/10, menjadikan prioriti persatuan terhadap akademik tidak akan disia-siakan seandainya beliau menjadi teraju utama, insyaAllah.

Pada tahun ini pengalaman berpersatuannya diasah lagi apabila memegang jawatan sebagai TYDP 1 BKPSM. Ditambah dengan pengurniaan syahadah daripada Universiti Al-Azhar sebagai salah seorang pelajar cemerlang bagi jurusannya, ternyata simbiosis di antara akademik dan kemahiran berpersatuan yang dimilikinya tidak dapat dipertikaikan lagi. Saya kira sudah tiba masanya untuk beliau menjadi teraju utama setelah pengalaman yang sedia ada, umpama buah durian masak yang hanya menanti gugur dari pokoknya.

Jujur saya sendiri kurang pengalaman bekerjasama dengannya , ulasan dibuat berdasarkan pemerhatian semasa dan juga respon kebanyakan ahli yang lainnya. Tidak kira siapa yang bakal menjadi teraju utama BKPSM sesi akan datang, semoga pertolongan Allah bersama kita dalam memperbaiki diri dan menjunjung pegangan Al-Quran dan Sunnah yang menjadi dasar perjuangan persatuan.

Saya tinggalkan sahabat-sahabat dengan sedikit kalam Allah (yang banyak nilainya) dan perkataan RasulNya dalam isu kepimpinan, moga kita sebagai ‘ibadur Rahman terus berpegang teguh pada keduanya demi menjulang Islam tercinta.

“Wahai Tuhan kami anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri dan zuriat keturunan kami sebagai penenang hati kami, dan jadikanlah kami pemimpin ikutan bagi orang yang bertaqwa

(Al-Furqan:74)

“Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan atas apa yang dipimpinnya.”

(HR Muslim)

Dan undi ini hanyalah untukmu!

1 comments:

Wardatul Asfar said...

Sokong pilihan chaq~~ semoga membawa kemaslahatan utk semua khususnya BKPSM tercinta~ =)