Saya percaya bahawa setiap insan di dunia ini perlu berhijrah. Kita tidak dilahirkan sempurna. Ibu bapa, persekitaran, pendidikan dan pelbagai faktor menjadikan kita seperti yang ada pada hari ini. Saya yakin bahawa hijrah itu bukanlah sesuatu yang mudah, lantaran mahalnya syurga sebagai ganjarannya. Kerana hamba-hamba yang berhijrah ke arah kebaikan itu tiada lain melainkan mereka yang BERJIHAD. Itulah martabatnya.
Menuding jari pada ibu bapa, persekitaran mahupun pendidikan yang diperolehi sebagai sebab yang membantutkan penghijrahan ke arah kebaikan itu adalah sikap orang yang suka berdalih. Mengapa barangkali saudara-saudara baru kita lebih memahami Islam bahkan ada di antara mereka menghafaz Al-Quran dalam jangka masa yang singkat sedangkan kita yang sedari kecil sudah berdamping dengan Islam masih berada di takuk lama?
KESUNGGUHAN. Itu saja bezanya.
Sirah Rasulullah SAW yang merakamkan kesungguhan Baginda dalam melewati peristiwa hijratul Rasul barangkali belum kita teladani. Nabi itu adalah Nabi! Mengangkat tangan ke langit saja dikabulkan Allah pasti. Mengapa pula Baginda bersusah-susah menempuhi jalan yang sulit, bersembunyi di gua dan mengambil jalan sukar ke Madinah semata-mata untuk berhijrah?
Kalau pada sirah itu jasad-jasad yang berhijrah tadi membuahkan perubahan di muka bumi; iaitu tertegaknya negara Islam berperlembagaan pertama di dunia. Maka kita umat Islam hari ini lebih perlu kepada hijrah yang mengubah keadaan kita yang ironinya sebegini ramai tetapi ditindas hari demi hari.
Kita perlu berhijrah daripada dunia kepada akhirat. Hati sahajalah yang mampu menjadi kenderaannya.

(33:4)
Jelas hadith Nabi SAW menceritakan perihal kita di akhir zaman yang cukup ramai pada bilangan, tetapi dikerumuni musuh bagai orang mengerumuni santapan. Semuanya berpunca daripada wahan, penyakit cintakan dunia dan takut mati.
Kerana cintakan dunia itulah kita sibuk mengejar dunia yang terang-terangan bakal ditinggalkan. Kerana cintakan dunia itulah kita dengki kepada orang yang berjawatan, berharta dan berkelebihan lalu kita mencipta permusuhan. Lantas wujudlah pertelingkahan yang akhirnya mengakibatkan kelemahan walau hakikatnya kita diikat dengan tali persaudaraan. Kerana cintakan dunia itulah kita terkejar-kejar di atasnya hingga mengabaikan tuntutan akhirat. Kerana cintakan dunia itulah kita tidak mahu hidup susah dan berazam untuk mengaut sebanyak-banyak kelebihan di dunia; hatta tanpa keperluan.
Lihatlah bagaimana mencintai dunia itu menjadi punca segala kejahatan dan keburukan, walhal kita sedia mengetahui mati itu bakal menjemput. Ajaibnya kebanyakan kita menjadi takut pada kematian yang merupakan satu kepastian. Hairan bukan?
Hati yang selama ini berkiblatkan dunia mesti dihijrahkan ke akhirat. Mencintai akhirat melebihi segalanya, dan bersiap-siap untuk berpindah ke negeri kekal yang dijanjikan Tuhan. Itulah hijrah hati yang saya maksudkan.
Lazim orang mengatakan apabila hati kita mengingati sesuatu, maka jasad kita seolah-olah berada bersamanya. Hijrah hati akan membawa jasad terbang sekali, meski belum dijemput mati. Andai hati dihijrahkan ke akhirat sana sedangkan jasad masih di dunia, nescaya kita akan menikmati syurga sebelum syurga!
Moga kita berjihad memindahkan hati daripada mencintai dunia kepada akhirat semata, kerana benar sungguh firman Allah bahawa Dia tidak menciptakan dua jantung dalam dada hambaNya. Tidak mungkin bergabung cinta dunia dan akhirat bersama tanpa salah satu mendominasi yang lainnya.
Muharram menjenguk untuk kesekian kali menandakan tahun baru menurut kalendar Hijri. Sudah pasti usia bakal bertambah setahun lagi.
Mahukah kita membiarkan diri statik tanpa cuba menyaingi peluang berbuat kebaikan yang kian berlalu pergi? Mari menghijrahkan hati menuju akhirat yang pasti!
4 comments:
Yup! Akhirat yg pasti. :) Bila balik malaysia?
Dalam sunyi dan sepi itulah aku bakal menghilangkan diri. =P
TJ, jom hijrah hati ke akhirat! ^__^
hehe~gitu a..yalah,sila2 la berhijrah p sabah dlm kesunyian.kmi cni pun terperap dalam rumah.confuse mau baut apa lagi.haish..bah,jum hijrah hati p akhirat. :)
terima kasih kongsi ! :)
Post a Comment