Usai azan Zuhur tengahari tadi, saya segera menyiapkan diri keluar rumah. Seperti biasa ada beberapa urusan harian yang perlu dilangsaikan; tiada lain sekadar menjalani langkah demi langkah sebagai hamba Allah.
Teksi ditahan sesampai di persimpangan jalan. Sudah ada seorang penumpang duduk di belakang, tapi masih boleh ditumpangi asal sahaja arah yang dituju sehala. Barangkali kerana populasi yang melimpah di perlembahan Nil ini, sistem teksi ditumpangi lebih daripada satu pihak (kebiasaannya dua dan maksimum tiga) diaplikasikan. Saya tiada masalah tentang itu, bahkan saya rasa cara ini lebih baik. Efektif, memudahkan urusan ramai orang, dan menguntungkan pemandu teksi kerana boleh mencari rezeki lebih cepat; insyaAllah.
Beberapa saat selepas duduk di bahagian kanan pemandu, hujan turun dengan tidak semena-mena. ‘Alhamdulillah’, hati berbisik gembira.
Ya, kalau di Malaysia amaran hujan seperti cuaca mendung atau guruh menjadi mukaddimah sebelum hujan turun. Tetapi bagi negara padang pasir seperti Mesir ini, hujan turun tiba-tiba dan kebiasaannya tidaklah lama. Cukup sekadar untuk membasahkan bahagian luar baju. Hendak bermain mandi hujan? Mimpi agaknya…
Tingkap teksi yang terbuka luas mengizinkan air hujan terpercik masuk. Tombol untuk mengawal naik turun cermin tingkap tidak ada (sengaja dibuka saya kira); membenarkan air hujan galak menari-nari di luar tingkap teksi. Setitik dua, saya biarkan. Air hujan yang membasahi pipi saya kesat perlahan dengan belakang tangan. Cuba melindungi kertas yang dipegang di tangan agar tidak basah, itu saja yang saya lakukan.
Pakcik pemandu teksi menghulurkan tombol yang dicabut supaya cermin tingkap boleh dinaikkan semula. Saya menolak sopan, tak perlulah. Senyum. Hujan bukan lebat pun, negara kami bila sebut pasal hujan memang bermaksud basah. Setakat rintik-rintik begini, saya boleh survive ammu. Hati mengomel sendiri.

Sedari kecil rasanya kita melihat hujan turun. Kalau anak kecil fikirannya cuma ingin bermain hujan apabila melihat hujan turun, tidak mengapa. Apa sangatlah yang difikirkan anak kecil begitu.
Meningkat remaja, proses kejadian hujan pula didedahkan kepada kita. Setiap kali hujan akan terbayang awan berat yang hamilkan air yang tersejat dari bumi keguguran akhirnya. Dan turunlah hujan.
Tetapi apabila meningkat dewasa, hujan turun lalu membasahi bumi. Dan terdengarlah ‘pendapat’ demi ‘pendapat’ pengkaji cuaca tidak bertauliah memberi komentar terhadap hujan yang turun itu.
“Hujanlah pulak! Baru basuh kain dah habis basah!”
Marah, kain tidak kering bahkan terpaksa dicuci semula andai hujan lebat sedang kain tidak sempat diangkat dari ampaian.
“Ingatkan hujat lebat, boleh basuh kereta. Setakat dua tiga cawan buat apa!”
Kecewa, sumber air percuma untuk membasuh kereta tidak mencukupi rupanya.
“Takde angin takde ribut tiba-tiba hujan. Macam mana nak kuar rumah hujan lebat macam ni? Rosak plan!”
Duka, rancangan yang diatur tergendala hanya kerana titsan air rahmat yang menitik dari langit mengehadkan langkah manusia.
Perkataan-perkataan ini barangkali diucapkan secara tidak sengaja, tapi secara tidak langsung ditujukan kepada Sang Pencipta Hujan itu sendiri. Tuhan kita!
“Dan Kami turunkan hujan dari langit dengan sukatan yang tertentu serta kami tempatkannya tersimpan di bumi dan sesungguhnya Kami berkuasa melenyapkannya”
(Al-Mu’minun:18)
Kurang bijaksana rupanya Tuhan itu, kerana menurunkan hujan yang tidak mencukupi untuk membasuh kereta.
Kurang bijaksana rupanya pemilik langit itu, kerana menjadikan baju-baju basah dengan hujan yang diturunkanNya.
Kurang bijaksana rupanya pemilik bumi itu, kerana menurunkan hujan yang memerangkap manusia tidak dapat berjalan keluar dari rumahnya.
Kalau Dia berkehendak, boleh saja dia menjadikan hujan itu turun dari langit dan ditambah dengan mata air yang mengalir berterusan dari bumi; seperti yang berlaku ketika zaman Nabi Nuh AS.
Dengannya bukan sahaja dapat kita membasuh kereta, bahkan semua makhluk-makhluk di bumi boleh ‘mati dibasuh’ olehnya. Banjir!
Belum cukupkah air secawan dua itu untuk dimuhasabah?
Tapi Dia dengan kebijaksanaanNya menentukan kadar hujan berbeza-beza di muka bumi; sebagai ujian kepada hambaNya. Dan air laut sendiri menjadi tempat simpanan air hujan itu, yang meliputi 70.9% permukaan bumi.
Kalau Dia mengkehendaki, pastilah Dia boleh membiarkan kita berterusan dalam kemarau. Air laut yang menjadi simpanan kering-kontang belaka. Hilanglah sumber air dari bumi.
Dengannya bukan sahaja kain yang dibasuh kering belaka, bahkan kita manusia yang 55% hingga 78% daripada komposisi tubuhnya adalah air, tumbuhan dan haiwan lain bakal kurus kering juga. Dehydrated, boleh mati agaknya!
Mengeluh lagikah pada kain yang basah disimbah hujan yang fungsinya menghidupkan bumi yang tandus sesudah matinya?
Dan boleh saja jika Dia berkehendak, untuk menjadikan hujan itu sesuatu yang lebih istimewa. Menimpa ke atas hamba-hamba yang dipilihNya, dalam bentuk hujan batu bukan hujan air seperti biasanya. Atau lebih mudah hujan air itu berubah menjadi hujan asid hasil kezaliman tangan manusia sendiri yang mencemarkan udara. Biar terhakis kulit makhluk yang tertimpanya, mati tumbuhan kerananya dan rosak barang-barang bermandi asid dari langit.
Masih tidak berpuas hati jugakah pada hujan air yang tidak mencederakan, sekadar membasahkan dan menangguhkan urusan dunia kerana lebatnya?
“Sesungguhnya Kami telah menggilirkan hujan di antara manusia supaya mereka berfikir. Namun, kebanyakan manusia tidak mahu melainkan berlaku kufur (terhadap nikmat itu)”
(Al-Furqaan:50)

Hujan bukan sesuatu yang berada dalam kawalan kita. Mereka yang dilanda kemarau bersungguh meminta hujan melalui solat sunat Istisqa’ kepadaNya. Sedang mereka yang dilimpahi hujan berleter tidak henti kerana hujan tidak turun mengikut waktu yang ditentukannya dan kuantiti yang dimahukannya.
Sedangkan sehari sahaja air tidak mengalir melalui pili di rumah, kita sudah berleter. Dapatkah kita membayangkan akan ketiadaan hujan ini andai Dia tidak menurunkannya dari langit dan merahmati bumi?
“Dialah yang menjadikan bumi ini sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya) serta diturunkanNya hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu pelbagai jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (keEsaan Allah)”
(Al-Baqarah 22)
Hujan adalah sumber rezeki. Dengannya tumbuh sayur campur yang kita makan pada makan malam semalam. Dengannya hidup daging ayam yang kita ratah tengahari ini. Dengannya subur buah mangga yang kita jadikan jus minuman petang tadi. Dengannya terbasuh asap pencemaran dari kilang ciptaan manusia yang merosakkan bumi. Dengannya hidup tumbuhan laut yang menjadi makanan yang sedap dan pelbagai untuk dinikmati. Dengannya berlayar kapal di lautan membawa muatan berat untuk menyempurnakan urusan duniawi. Dengannya sejuk bumi yang sekian lama panas menggigit kulit separuh mati. Dengannya lahir kita; insan yang sekadar dari titisan air mani ke muka bumi!
Sungguhlah dari hujan itu wujudnya air yang menjadi unsur asas setiap benda hidup. Dan Al-Quran adalah kitab yang menerangkan Sains untuk hamba-hamba yang mahu menggunakan akalnya menuju ke syurga; bukan sekadar menempah sijil di dunia!
“…dan kami jadikan daripada air tiap-tiap benda yang hidup…”
(Al-Anbiya’:30)
Kita marah, hujan tidak lebat.
Kita kecewa, hujan merosakkan rancangan.
Kita gundah, hujan itu dan hujan ini.
Mahukah kita menjadi golongan intelektual yang bijak menjawab di atas kertas periksa bahawa molekul air itu wujud daripada dua atom Hidrogen dan satu atom Oksigen adanya. Proses hujan itu begitu dan begini urutannya.
Kemudian apabila sampai kepada soal Penciptanya, kita kufur pada nikmat sebesar itu hanya kerana ia dirasakan mengganggu urusan dunia kita?
La ilaha illa Anta, subhanaka inna kunna minal dzolimeen.
Tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau ya Allah, sesungguhnya kami menzalimi diri kami sendiri!
3 comments:
Hanya dengan isu secawan dua limpahan hujan (dan rungutan) sudah boleh dijadikan huraian yang cukup meninggalkan kesan.
betul, jangan pernah kufur dengan ni'mat Tuhan!
:)
Alhamdulillah.
pikir cincai? ;)
tabik spring orang kuat Zagazig! :P
Kak, jangan pernah berhenti berkarya. :)
Post a Comment