Alhamdulillah atas helaan nafas berlembayungkan nikmat Islam dan iman serta nikmat sihat juga kelapangan saat ini. Siri peperangan sudahpun sampai separuh jalan, dengan tinggal subjek Pediatrik sahaja lagi yang perlu diperjuangkan. Berteman pelbagai insiden yang mencuri perhatian sepanjang tempoh peperiksaan, keyakinan bahawa amat hampirnya pertolongan Allah tidak pernah padam.
Tidak ada perjuangan tanpa pengorbanan. Tidak ada pengorbanan tanpa kesabaran.
Separuh jalan ini memberikan sedikit kerehatan buat diri, digunakan memuhasabah dan beramal untuk tempoh yang berbaki.
Aidil ‘Adha menjelma dan takbir bergema mengetuk gegendang telinga. Tibalah giliran untuk kisah Ibrahim As dan Ismail AS dihayati seperti selalunya.
Di pagi hari mulia sepatutnya setiap keluarga sudah memilih seorang daripada ahlinya untuk ‘ditumbangkan’ pada Aidil Adha tahun ini.
Anak, isteri, cucu, saudara. Sesiapa sahaja yang terpilih mengikut giliran barangkali.
Dikelar lehernya dan dikorbankan jiwanya. Sebagaimana nekadnya Khalilul Rahman Ibrahim AS melaksanakan perintah Allah untuk menyembelih Ismail AS putera istimewanya.
Yang sabar. Yang santun. Yang berilmu. Yang mengerjakan ketaatan. Ismail AS itu bukan calang-calang pemuda. Seisi langit dan bumi tahu akannya.
Ya Allah, ternyata yang ini lebih sukar.
Anak ini dibesarkan dari kecil. Makan minum dan pakainya sahaja sudah belanja berapa banyak? Melahirkan dan memeliharanya bukan mudah.
Hendak dipotong begitu sahaja?
Tidak mungkin!
Sukar bukan, andai acara mengelar leher sang anak atau ahli keluarga untuk dikorbankan tiap kali Aidil Adha tiba itu disyariatkan dan diwarisi sehingga kini?
Tetapi Allah dengan rahmat dan belas kasihNya menggantikan Ismail AS dengan binatang sembelihan sebagai manifestasi kesyukuran untuk dikorbankan.
Tidak hairankah kita mengapa masih ada di kalangan hamba yang berkelapangan dari sudut harta masih tidak mahu melaksanankan ibadah korban binatang ternakan dan bukannya nyawa insan kesayangan itu untuk bersyukur kepadaNya?
Duit ini lebih baik dibelanjakan ke sini ke situ.
Sempit dada untuk bersedekah binatang korban, harga mahal tu!
Ah, nantilah dahulu.
Sedangkan terang bersuluh sirah hamba terpilih ini diulang-bicara dalam kitab Allah, gunanya supaya mereka yang diberi mata dan telinga itu mengambil pengajaran akannya.
“Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu”
(As-Saffat:102)
Bermusyawarah sang ayah memohon fikrah. Padahal dirinya itu ayah, pemimpin dan ketua. Apa perlu pandangan puteranya sedangkan dengan taatnya sahaja pastilah dia tetap melaksanakan perintah?
Mengapa tidak ditarik kasar sang anak disembelih secara paksa kerana itu adalah perintah? Noktah!
Ibrahnya pemimpin itu bukanlah seseorang yang cuma tahu memerintah. Tanyakan buah fikiran mereka yang di bawahnya.
Nescaya perintahmu dijunjung kerana dihormati, bukan ditakuti.
“Wahai ayah. Jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insyaAllah ayah akan mendapati aku daripada orang yang sabar.”
(As-Saffat:102)
Jawapan Ismail AS yang disifatkan Allah SWT sebagai pemuda yang sabar dirakam kemas dalam Al-Quran.
SubhanAllah.
Andai saja saya di tempatnya, sudah tentu saya lari pecut tanpa baton mengingkari si ayah yang ingin mencabut nyawa!
Ah, inikan kisah lama?
Tiadalah yang mengambil pengajaran melainkan ulul albaab!

Hari ini Islam dikepung dari segenap penjuru.
Akidah. Ibadah. Muamalah. Bahkan hampir segala-galanya.
Dan kita sebagai Muslim pastilah bertanggungjawab membelanya, daripada sudut yang kita mampu memeliharanya.
Kitalah pelajar. Kitalah pengajar. Kitalah pekerja. Kitalah pemimpin. Kitalah orang bawahan. Kitalah itu dan ini agar Islam tidak dipijak-pijak orang sesuka hati.
Itulah tadhiyyah. Pengorbanan pada bahasa hariannya yang menyebabkan jutaan keletihan, kepapaan, keluh kesah, dan terkadang kesedihan.
Tapi sekali-kali tidak akan berakhir dengan kehinaan.
Tiba detik untuk mempersoalkan diri apakah yang sudah DIKORBANKAN sepanjang usia ini untuk agama Allah?
Masa?
Harta?
Mungkinkah nyawa?
Ataupun tenaga?
Buah fikiran mungkin?
Oh, rupanya kitalah yang lena di atas permaidani indah itu, makan dan tidur sesuka. Gelak dan riang tertawa.
Hingga Islam dipijak musuh-musuhNya.
Kesedaran dakwah di dalam diri mahasiswa/wi Islam tidak mungkin mampu dibeli dengan tiket yang cuma diperolehi dengan berteleku menghadap buku di dewan kuliah. Pulang ke rumah mengisi perut lena gembira.
Aku ada periksa! Peperiksaan adalah segala-galanya!
Tinggalkan urusan yang tiada berkaitan dengan jurusan kita.
Masa muda hanya sekali. Mari berhibur!
Bangkitlah mahasiswa Islam.
Didiklah diri. Amalkan ilmu dan sebarkan agar kejahilan dibasuh ke akar-umbinya.
Bukan sedikit kaum-kaum terdahulu yang kebijaksanaannya mengatasi kita yang ada sekarang ini, tetapi dimusnahkan Allah kerana mereka derhaka.
Andai kepintaran itu disangkakan segala-galanya, nyata kita belum menjiwai rohnya seorang hamba.
Lupakah pada pujian Allah SWT ke atas Ismail AS kerana sifatnya yang SABAR dan bukannya PINTAR?
Ketidaksanggupan mengorbankan sebahagian daripada nikmat Allah YANG SEKADAR PINJAMAN cuma itulah yang seharusnya dijadikan tanda tanya di dalam lubuk jiwa.
Apakah Aidil Adha ini lebih baik dari sebelumnya, dan apakah yang telah ku korbankan untuk membuktikan ketaatan?
Percuss dada, auscultatelah minda seperti selalunya.
Salam Aidil Adha, tempoh kontrak tadhiyyah kita menjunjung Islam adalah hingga hujung nyawa!
0 comments:
Post a Comment