Jan 10, 2012 By: Nafsah Dulajis

Nota Buat Diri


“Waktu belajar adalah tempoh berbuat kesilapan. Kerana kesilapan pada waktu bekerja adalah sukar dimaafkan. Dan paling penting, dah tak boleh ‘undo’ masa tu.”

Mata dicelikkan seketika mendengar nasihat itu. Betul! Kesilapan dalam tempoh belajar masih punya pembetulan sebagai penyelesaiannya. Tetapi kesalahan dalam tempoh bekerja, yang tinggal hanyalah hukuman.

Ironinya kita (baca: saya) sangat takut pada kesilapan itu sendiri, sehingga ia menutup peluang belajar yang lebih besar. Bukankah ramai orang belajar dari kesilapan, yang akhirnya membuahkan kemajuan?

Kerapkali juga dalam memberi pendapat, kita sering merasa bahawa hanya ada satu saja pendapat yang benar sehingga timbul ketakutan untuk memberi pendapat yang lain. Seandainya demikian, nescaya ia tidak akan digelar ‘PENDAPAT’ sebaliknya ‘FAKTA’ lantaran hanya ada satu kebenaran. Berbeza halnya dengan pendapat, mungkin saja pendapat yang berbeza-beza sama-sama benar, cuma ketepatannya tidak sama. Dan aplikasinya realistik dalam keadaan yang berbeza pula.

Akibatnya kita sempit dada pada pendapat lain yang ada dan cuma memandang benar pada pendapat masing-masing sahaja. Perbezaan tidak semestinya membawa kepada permusuhan, belum cukup matangkah kita dalam mendepani kepelbagaian?

Menjadi tua itu satu ketetapan, sedangkan meningkat dewasa itu satu perjuangan!


Kalendar Masihi berubah lagi, kali ini tahun yang punya 366 hari menjadi saksi. Cita-cita yang mesti ditanam di hati harus diingatkan berulang-kali agar tidak lalai mencapainya.

Membangunkan Khilafah Islamiah agar mampu mentadbir dunia dengan agama, itu cita-cita di dunia.

Kerananya kita bekerja menjadi kuli. Kerananya kita berhempas-pulas mengorbankan itu dan ini. Kerananya kita berpenat-lelah ke sana-sini.

Apakah realisitk cita-cita membangunkan Khilafah Islamiah yang musnah hampir 90 tahun yang lalu dalam keadaan kita kurang pada serba-serbi?

Ingatlah bukan kita yang memulakan perjuangan meneruskan penyampaian risalah para Nabi, moga dengannya kita tidak merasa berat dan menanggung segalanya di bahu sendiri. Dan ingatlah juga bahawa bukan kita yang bakal mengakhiri perjuangan ini, kerana generasi selepas ini akan lahir dengan perkakas yang sudah kita sediakan untuk menjadikan kalimah Allah itu yang tertinggi.

Barangkali kemenangan Islam tidak terjadi di tangan kita mahupun di zaman kita, pastilah mind setting sebegini melepaskan kita dari rasa kecewa kerana bukanlah kemenangan yang jadi tujuan utama.

Yang menjadi kekalahan paling besar ialah apabila kita enggan berjihad dengan harta dan jiwa untuk mengangkat kalimah Allah, ternyata kita sudah sedia kalah sebelum berperang.

Menggapai mardhatillah dan meraih syurga Allah, kemenangan besar di akhirat nanti sebagai cita-cita paling tinggi.

Ada yang berpendapat bahawa ibadah kerana mengharapkan syurga itu salah. Ibadah berharap balasan itu tandanya tidak cinta.

Saya berpendirian sebaliknya.

Berapa banyak ayat Allah yang mengkhabarkan akan keindahan syurga dan janjiNya ke atas Mukmin yang soleh tentang ganjaran tersebut? Dan berapa kali pula Dia menitahkan agar orang beriman itu digembirakan dengan syurga sebagai balasan? Begitu juga dengan gambaran azab yang menakutkan andai memilih jalan kesesatan?

Bukanlah ibadah mengharap balasan dan takutkan azab itu tanda ketidakikhlasan atau tidak cinta, tetapi syurga dan neraka itu juga fungsinya sebagai motivasi hidup di dunia. Bukankah jahil namanya menolak pemberian Raja yang memerintahkan berbuat baik dan sedia memberi ganjaran andai berjaya?

Moga kedua-dua cita-cita ini tidak dilupakan dan tercicir dengan mudah, hanya kerana terpautnya hati pada dunia.


Allah telah memilih kita untuk menggalas beban ini, inilah nikmat yang amat patut dijaga dan dipelihara. Kerana Islam sekali-kali tidak memerlukan kita untuk memperjuangkannya, sebaliknya kitalah yang sentiasa perlu memperjuangkan Islam untuk meraih redha Allah.

Andai kesempitan rezeki kerana menyatakan yang benar itu menjadi satu ketakutan, berapa ramai mereka yang disempitkan rezekinya sedangkan mereka tidak berjuang untuk Islam?

Sesungguhnya Allah menyempitkan dan meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya.

Jika ketakutan dihina atau dipenjara di dunia kerana menghentam kebatilan itu menjadi kegusaran, cubalah lihat apakah semua insan yang berada di penjara itu berjuang menyongsang arus kezaliman?

Dakwah bukanlah hobi, yang dilakukan bila ada kelapangan dan bila saja hati berkenan. Andai mentari di tangan kanan Nabi dan rembulan di tangan kiri Baginda, nescaya tidak akan ditinggalkannya kerja dakwah ini sehinggalah maut menjemputnya ataupun kemenangan dikurniakan Ilahi.

Dan kita yang tidak punya darjat di sisi Tuhan apatah lagi?

1001 alasan mudah diperolehi untuk meninggalkan perjuangan menegakkan Islam, hina sekali apabila cinta dunia itulah yang menggelincirkan diri.

Sering kemewahan itu dipandang baik. Andai ia menjauhkan lagi kita daripada Allah, apakah ada lagi kebaikan yang tertinggal padanya?

Barangkali kemahsyuran itu dipandang mulia. Andai ia membuatkan kita lupa kepadaNya, nyata tidak ada faedah lagi padanya.

Jauhkanlah kemewahan dan kemahsyuran itu daripada kami, kerana kami tidak berhajat padanya andai ia bakal menjauhkan kami dariMu. Noktah!

Kerana itu kita memohon KEBAIKAN (hasanah) di dunia dan di akhirat yang hakikatnya dalam lingkungan ilmu Allah, doa lengkap yang mencakupi segalanya. Kerana kita tidak pasti apakah kekayaan itu baik buat kita, boleh jadi ia menjadi mudarat saja.

Perbandingan dunia dan akhirat itu adalah seperti lalang dan padi.

Tanam padi, pasti lalang tumbuh sekali.

Tanam lalang, tentu tidak sudi tumbuh sang padi!

Dan hati, bacalah nota buat diri ini berulang-kali agar engkau tidak lupa mengapa engkau diutuskan ke sini.

P/S JazakAllah buat seseorang yang menginspirasikan tulisan kali ini. Semoga Allah merahmatimu.

2 comments:

Anonymous said...

subhanALLAH!!!....sesungguhnya sama2 la kta cba melatih hati utk mncintai akhirat brjuta2 kali ganda dripada menabur cinta sia2 kpada dunia ini...:)

TJ said...

iAllah..indeed mistakes existed in the first place to give us a chance to be better and greater. :)